Friday, December 18, 2009

ISTERI, PENDAKWAH DAN KERJAYA (part 2)

Entri lepas telah saya kupaskan sedikit berkaitan dengan perjuangan isteri-isteri Rasulullah dan pejuang-pejuang muslimat terdahulu. Seorang isteri solehah, semestinya mengambil panduan dan teladan daripada kisah-kisah seperti ini untuk diaplikasikan dalam kehidupan mereka.

Muslimat dan perjuangan Islam bagi saya tidak boleh dipisahkan. Bagaikan tidak indah irama tanpa lagu. Begitulah tidak lengkapnya sebuah perjuangan Islam tanpa gerakan muslimat sebagai pendokongnya. Namun begitu, dalam kesibukan muslimat sebagai pendokong gerakan Islam, mereka juga perlu memahami dan melaksanakan peranan mereka sebagai seorang isteri sebagaimana yang telah digariskan dalam al-Quran dan diberi panduan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW. Jangan kerana sibuknya kita muslimat di gelanggang perjuangan, rupanya lupa akan tugas utama atau primer kita sebagai seorang isteri.

PERANAN ISTERI

Banyak yang diterangkan dalam al-quran dan hadis berkaitan dengan peranan seorang isteri. Saya cuba merujuk tafsir Fizilalul Quran kerana saya suka akan huraiannya yang lebih bersifat haraki. Namun, maafkan saya, perisiannya tidak cukup dalam laptop ni.. Frust juga. Teringat zaman universiti dulu, library tumpuan bukan untuk cari rujukan pelajaran, tapi tumpuan untuk cari rujukan tafsiran untuk ‘discussion group’.. Ehem, kembali kepada topik berkenaan peranan Isteri.

Perkara pertama bagi saya yang perlu seorang isteri faham dan terima ialah bahawa kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita. Seperti yang diterangkan dalam firman ALLAH SWT dalm surah An-Nisa’ ayat 34 ;

“Laki-laki(suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri), kerana Allah melebihkan mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (perempuan)..”

Dan satu lagi hadis Rasulullah SAW;

“Seandainya dibolehkan sujud sesama manusia, maka aku akan perintahkan isteri bersujud kepada suaminya..”(Tirmidzi)

Ada beberapa perkara yang ALLAH lebihkan lelaki bukan kerana ketidak adilan seperti yang dituntut beberapa pihak yang kurang kesedaran, tetapi mengikut kepada fitrah kejadian yang ALLAH ciptakan lelaki dan perempuan itu berbeza daripada beberapa sudut. Maka atas perbezaan itulah, ada kelebihan yang ALLAH berikan kepada lelaki yang meletakkan golongan mereka sebagai pelindung, atau pemimpin bagi kaum wanita.

Dan janganlah kamu iri hati terhadap kurnia yang telah dilebihkan Allah kepada sebahagian yang lain. Kerana bagi laki-laki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi perempuan (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. Mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurniaNya. Sungguh Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” – An-Nisa’: 32

Jadi, kedudukan suami adalah setingkat lebih tinggi daripada seorang isteri tidak kira seorang isteri mempunyai pangkat atau gaji yang lebih dari suami dari sudut kerjaya. Tidak akan berubah kedudukan seorang suami dalam ketentuan Islam itu dengan pangkat dunia yang isteri ada. Namun, ayat ini tidak bermakna isteri/ perempuan tidak boleh terlibat dalam soal politik, dan ayat ini juga tidak mencabut hak-hak isteri dalam beberapa perkara yang lain seperti hak pemilikan harta peribadi, pengelolaannya walaupun tanpa persetujuan suami.

Kedua, apabila isteri memahami dan menerima kedudukan mereka yang setingkat lebih rendah daripada si suami, maka soal ketaatan harus menjadi keutamaan. WAJIB bagi isteri mentaati suaminya selama bukan dalam soal kemaksiatan.

Firman Allah SWT:

“Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat kepada Allah dan suaminya (dan yang memelihara kehormatan dirinya dan apajua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya.” (An-Nisa’:34)

Sabda Rasulullah SAW:

Apabila seorang isteri, menjaga solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya dan mentaati suaminya, nescaya ALLAH swt akan memasukkannya ke dalam syurga.” (Ibnu Hibban)

“Tidak boleh taat kepada seseorang dalam melakukan maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan itu dalam melakukan kebaikan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perkara taat kepada suami ini adalah perkara yang sangat penting yang sentiasa menjadi pokok dalam perbincangan berkaitan dengan peranan seorang isteri. Hadis Rasulullah SAW di atas juga meletakkan perkara taat kepada suami itu adalah setaraf dengan solat, puasa dan menjaga kemaluan. Harus difahami taat di sini adalah mematuhi segala arahan atau permintaan suami dan melaksanakannyya dalam apa keadaan sekalipun sama ada susah atau senang bersesuaian dengan kehendak kita sebagai isteri ataupun tidak.

Ketiga, memenuhi hak-hak suami. Isteri yang solehah adalah isteri yang mengetahui bahwa selepas hak Allah SWT dan hak Rasulullah SAW, tidak ada hak lain yang wajib dipenuhinya selain daripada suaminya. Aisyah r.a berkata,

“Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Siapakah orang yang paling besar haknya pada seorang isteri?’ Baginda bersabda, ‘Suaminya’. Aku bertanya lagi, ‘Lalu, siapakah yang paling besar haknya pada seorang suami?’ Baginda bersabda, ‘Ibunya.’” (HR al-Hakim)

Hak-hak utama suami yang perlu dipenuhi:

  1. Tidak menolak apabila diajak melakukan hubungan kecuali kerana uzur syarie ataupun sakit yang teruk.
  2. Tidak keluar rumah kecuali dengan izin suaminya.
  3. Tidak menggunakan harta suami kecuali dengan izin suami
  4. Mengurus rumahtangga, mengasuh anak-anaknya secara benar dan mengikut ajaran Islam.
  5. Memberikan layanan yang sebaik-baiknya kepada suami (First Class J )

Kebanyakan rujukan saya banyak memberatkan 5 hak ini yang mana saya gariskan sebagai hak-hak utama suami yang perlu dipenuhi oleh isteri. Bukan senang bergelar seorang isteri, sehingga saya sendiri pun pernah terfikir untuk tidak berkahwin.

Seorang anak gadis berjumpa dengan Rasulullah SAW. Dia berkata, “Ya Rasululah, saya masih muda lagi, masih gadis lagi dan ada yang datang meminang saya tapi saya sekarang ini masih belum ingin berkahwin.” Sekalipun tidak ada keinginan untuk berkahwin lagi, anak gadis ini bertanya, “Apakah hak seorang suami terhadap isterinya?” Maka jawab Rasulullah, “Jika seorang suami itu dari hujung rambut ke hujung kakinya dipenuhi dengan nanah dan nanah ini boleh di lap dengan menggunakan lidahmu sahaja, kamu masih tidak boleh menyempurnakan syukur kepada ALLAH dan belum cukup untuk bayar budi baik suamimu kepadamu. Apatah lagi jika kamu tidak mengambil tahu langsung perihal suamimu.” Mendengar penjelasan Rasulullah, anak gadis itu tiba-tiba terasa gerun dan berkata, “Kalau begitu, saya tidak akan berkahwin.” Kata Rasulullah, “Daripada tidak bersuami, lebih baik bagi seorang perempuan itu bersuami. Walaupun berat tanggungjawab sebagai seorang isteri, namun jika dilakukan dengan baik, maka ganjarannya adalah lebih besar.”

Kisah ini, memberi bayangan kepada saya sendiri betapa beratnya tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Perkahwinan tidak cukup dengan hanya bermodalkan cinta, sayang dan percaya. Tetapi menuntut kefahaman akan peranan masing-masing, ilmu rumahtangga dan sudah pastinya ilmu agama untuk kehidupan yang indah dalam jalan yang lurus dan bersyariat.

ISTERI SEBAGAI PENDAKWAH

Hukum dakwah pada asalnya adalah fardhu kifayah. Menjadi fardhu ‘ain dalam keadaan tertentu. Tuntutan dakwah ini menjadi tanggungjawab kepada semua tidak kira suami atau isteri.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada ALLAH. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 71)

Allah SWT telah menetapkan di atas bahu kita sebagai salah seorang anggota masyarakat ini, melaksanakan tugas yang mulia iaitu mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Seoarang muslimat yang bergelar ISTERI harus memahami keadaannya di dalam masyarakat selaku sebagai seorang yang memikul tanggungjawab bukan sahaja memenuhi hak-hak suami tetapi juga sebagai pendakwah.

Tidak dinafikan, sepertimana yang telah saya jelaskan tentang peranan seorang isteri di atas, itulah tugas utama mereka, namun apabila datang kepada mereka isu mengajak kepada perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran, tugas tersebut adalah tugas semua pihak tanpa mengira dia sebagai suami atau isteri. Keadaan umat Islam kini yang semakin lama semakin jauh dari kebenaran, hanyut dengan keindahan dunia, lemas dalam lautan nafsu, maka kepada siapakah harus diserahkan tanggungjawab ini kalau bukan kita?

Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Bazt (Pengarang kitab Wujubu Dakwah Ila Allah wa Akhlaqud Du’at) mengatakan, “Kewajipan dakwah itu menjadi fardhu ain jika engkau berada di suatu tempat yang di sana tidak ada orang yang menunaikannya selain kamu.” Beliau juga menjelaskan, “Di saat sedikitnya da’i, disaat benyaknya kemungkaran, di saat dominannya kebodohan, seperti keadaan kita hari ini, dakwah menjadi fardhu ‘ain atas setiap orang sesuai dengan kemampuannya.”

Bagi saya, kehebatan dan kejayaan dakwah seorang suami adalah apabila dia juga berjaya menjadikan isterinya untuk bersama di jalan dakwah. Melihat kepada fenomena hari ini, kebanyakan para suami ini keliru akan lesen ‘kebenaran’ yang diberikannya kepada isteri. Isteri dibenarkan keluar berkerja sampai separuh hari, isteri dibenarkan tinggal berjauhan untuk tuntutan kerja, namun, apabila isteri ingin mencuri masa beberapa jam untuk duduk bersama dalam program jamaah ataupun paling kurang dalam usrah, si suami seperti kepanasan, tidak sanggup mengambil alih seketika tugas harian isteri di rumah.

“Apabila berlaku pertembungan antara kepentingan akad perkahwinan kita dan urusan dakwah, maka perkahwinan kita akan berakhir, akan tetapi dakwah akan sentiasa berakar umbi di dadaku..Aku mengetahui akan hakmu untuk memerintahku dan adalah tanggungjawabku untuk mematuhimu, tetapi ALLAH SWT di dalam jiwa kita adalah lebih besar dari nyawa kita, dan dakwahnya adalah lebih dekat dengan kita dari diri kita sendiri..”

Ini adalah kata-kata Zainab Al-Ghazali yang saya bacanya di dalam buku tulisannya Hari-Hari Dalam Hidupku. Inilah komitmen seorang muslimah dakwah yang perlu kita contohi. Di mana suami juga perlu sentiasa diingatkan bahawa pertimbangan secara rasional menggunakan iman dan akal perlu dibuat apabila berlakunya pertembungan tugasan muslimat sebagai isterinya dengan muslimat sebagai perawat jiwa masyarakat.

Muslimat dakwah sudah pasti menginginkan pasangannya juga adalah mereka yang berada di jalan dakwah. Maka, pertemuan jodoh di jalan dakwah ini, harus difahami oleh setiap pasangan, bahawa jalan dakwah membawa mereka ke gerbang perkahwinan, dan jalan dakwah ini harus dilalui sekalipun selepas perkahwinan. Beban dakwah ini bukan hanya diberatkan kepada suami, malah isteri juga harus bersama dalam perjuangan dakwah sebagaimana yang dilakukan oleh para isteri Rasulullah, muslimat-muslimat dalam gerakan perjuangan Islam terdahulu. Jalan dakwah ini memberi kefahaman kepada setiap pasangan bahawa pernikahan adalah ibadah, bahawa berkeluarga adalah salah satu tahap dakwah untuk menegakkan khilafah islam di muka bumi ini. Jadi, para ISTERI tidak perlu berdalih lagi, bukakan jalan, jangan sempitkan, teruskan perjuangan. Pilihan di tangan anda. Mahu jadi ISTERI PENDAKWAH ataupun ISTERI DAN PENDAKWAH.

Thursday, December 10, 2009

ISTERI, PENDAKWAH DAN KERJAYA (Part 1)


Jarang sekali saya mencoret perihal rumahtangga di ruang maya ini. Mungkin masih cetek ilmu saya tentang alam rumahtangga terutamanya dalam konteks membina bait al-dakwah. Banyak yang perlu diteliti, di hadam dan difahami. Baru sekadar teori, praktikalnya belum diuji lagi. Sekadar perkongsian dari insan yang masih lagi bertatih mengejar ilmu demi keredhaanNya..

Bergelar seorang ISTERI bukan sebuah tanggungjawab yang ringan sekalipun saya belum lagi menginjak ke alam rumahtangga. Saya suka memerhati, mencari realiti sebenar sebuah kehidupan berumahtangga, kadang-kadang mendengar pelbagai keluhan, juga membaca beberapa keindahan. Namun, segalanya belum tentu menggambarkan akan realiti alam rumahtangga yang akan saya bina mungkin suatu hari nanti.

Muslimat dakwah meletakkan target yang tinggi, bagaikan seorang SUPERWOMAN selepas kahwin. Seorang ISTERI yang menguruskan rumahtangga, seorang PENDAKWAH yang turun secara langsung di medan perjuangan dan seorang PEKERJA yang profesional yang cemerlang dalam kerjaya. Realitinya, ramai muslimat dakwah, kerana target yang tinggi ini akhirnya rebah kerana mereka sebenarnya tidak mampu menjadi seorang SUPERWOMAN seperti yang dicitakan.

SEJARAH PERJUANGAN MUSLIMAT

Penglibatan muslimat dalam gerakan dakwah dan perjuangan menegakkan kalimatul haq di atas muka bumi ini bukan perkara baru. Malah ia berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Contoh yang ditunjukkan oleh muslimat terdahulu seperti isteri pertama Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah menjadi wanita pertama yang menyahut seruan Iman. Seorang yang cukup setia menemani baginda dalam susah dan senang , tidak pernah berhenti berusaha menenangkan hati baginda, menjadi penyokong dan sumber kekuatan yang kuat kepada baginda. Saidatina Khadijah yang asalnya dari golongan bangsawan yang mempunyai harta yang banyak, menjadi sumber kewangan kepada perjuangan Islam ketika itu atas sifatnya yang sangat pemurah. Sehingga diriwayatkan, di akhir hayatnya, tidak ada harta yang tinggal padanya, semuanya diinfakkan ke jalan ALLAH SWT. Kewafatan Saidatina Khadijah membuatkan Rasulullah SAW berduka kerana kehilangan seorang isteri yang setia, pembantu
dan pembela baginda dalam melanjutkan tugas dakwah yang suci ini. Kata baginda;

“Allah tidak memberikan pengganti untukku yang lebih baik daripada Khadijah. Dia percaya kepadaku tatkala orang lain mengingkariku, dia membenarkan aku di kala orang lain mendustakanku, dia menyerahkan hartanya kepadaku tatkala orang lain menghalang aku, Allah mengurniakan keturunan melalui rahimnya tatkala aku tidak dapat daripada perempuan-permpuan lain (isteri-isteriku)”

Begitu dalamnya cinta dan sayang baginda kepada Saidatina Khadijah. Saya pasti, sukar untuk kita mencari wanita sehebat beliau dalam sejarah perjuangan muslimat hari ini.

Sejarah tidak melupakan kehebatan seorang wanita yang hebat dalam ilmu Al-Quran, hadis, ilmu fiqh, sejarah dan juga Bahasa Arab, iaitu juga salah seorang isteri baginda Rasulullah yang dikahwini pada usia yang begitu muda, Saidatina Aisyah r.a. Abu Burdah bin Musa dari ayahnya ada menerangkan bahwa ; “setiap sahabat yang menemukan kesulitan dan bertanya kepada Aisyah r.a pastilah mereka mendapat jawapan yang mantap dan ilmiah..” Tercatat juga dalam sejarah bahawa Saidatina Aisyah r.a adalah termasuk salah seorang daripada 7 orang Majlis Syura. Kehebatan Saidatina Aisyah r.a dalam bidang ilmu banyak membantu baginda dalam menyampaikan risalah dakwah terutamanya dikalangan kaum wanita.

Saya tampilkan juga seorang lagi pejuang muslimat yang cukup tegar di medan peperangan,penuh keberanian, Nusaibah binti Ka’ab. Nusaibah antara wanita yang ikut sama di dalam perang Uhud, yang tugasnya memberi minum kepada muslimin yang berperang dan terluka di siang hari. Namun di saat genting, ketika tentera muslimin dalam porak poranda akibat tidak mengikuti arahan baginda Rasulullah, beliau segera mendekati Rasulullah dengan pedang dan anak panah sebagai pelindung kepada baginda. Di dalam peperangan ini, dengan keberanian yang ada pada Nusaibah, beliau telah mendapat luka yang teruk di seluruh badannnya di mana luka itu mengambil masa selama satu tahun untuk sembuh. Nusaibah sehingga kini disebut sebagai Srikandi Perisai Nabi.

Seorang lagi srikandi yang saya suka untuk kongsikan di sini iaitu, Sumayyah, orang pertama yang bergelar syahid. Kerana teguh dengan keimanan, beliau diseksa dengan begitu kejam sekali oleh Abu Jahal. Beliau dipakaikan baju besi dan dijemur dibawah terik panas matahari yang membakar. Kerana keteguhan inilah, Abu Jahal telah merejam beliau dengan tombak sampai mati. Teringat saya akan bait-bait indah dalam lagu yang disampaikan oleh kumpulan Hijjaz akan perjuangan syahidah pertama ini.

Sabarlah keluarga Yasir bagimu Syurga di sana
Dan kau pen tega memilih syurga
Walau terpaksa berkorban nyawa
Lalu tombak yang tajam menikam jasadmu yang tiada bermaya
Namun iman di dadamu sedikit tidak berubah

Darahmu menjadi sumbu pelita iman
Sumayyah kau lambang wanita solehah
Tangan yang disangka lembut menghayun buaian
Menggoncang dunia mencipata sejarah


Bait lagu ini pernah menanam satu semangat dan keinginan yang tinggi dalam hati dan jiwa saya untuk menjadi seorang insan yang berbakti kepada agama selama kehidupan ini.

Ramai lagi pejuang muslimat yang boleh dijadikan contoh dan ikutan kita di zaman ini. Cumanya, saya tampilkan empat srikandi ini untuk saya rumuskan beberapa perkara.

Pertama, seorang isteri itu perlu ada kesetiaan dan rela hidup bersama dengan suami dalam senang dan susah. Tidak kira dalam kondisi dia seorang yang berkerjaya, yang lebih tinggi gajinya daripada suami, ataupun yang mempunyai pangkat yang tinggi dalam jamaah berbanding suami. Kesetiaan ini, mampu memberi impak yang tinggi kepada si suami dalam meneruskan perjuangan seperti setianya Saidatina Khadijah kepada baginda Rasulullah SAW. Susah senang suami dapat dirasai bersama oleh isteri dan sentiasa berada di sampingnya untuk memberikan semangat kepada suami.

Kedua, seorang isteri perlu ada kemahiran psikologi yang baik. Ilmu kejiwaan ini sangat membantu dalam kehidupan suami yang berada dalam gerakan dakwah ini. Mereka yang berjaya menguasai ilmu psikologi ini dapat membantu suami dalam perjalanan dakwah dengan tenang di samping pertolongan dari ALLAH.

Ketiga, kepentingan ilmu. Muslimat yang ingin berada dalam gerakan dakwah, perlu ada ilmu. Agar perjuangannya mempunyai sandaran dan asas. Imam Hasan Al-Banna sendiri meletakkan rukun pertama dalam arkanul bai’ah ialah FAHAM. Untuk memahami, muslimat harus dilengkapkan dengan ilmu dan menyampaikan juga berdasarkan ilmu. Sebagaimana Saidatina Aisyah r.a yang menjadi gedung ilmu, begitulah juga muslimat pada hari ini. Yusuf Qardhawi menyebut, adalah wajib bagi setiap wanita terhadap orang tuanya, anak-anaknya, serta kawan-kawan sejantina dengannya, untuk menganjurkan pembersihan aqidah dan tauhidnya dari pengaruh di luar Islam. Dan kewajipan ini memerlukan ilmu.

Keempat, muslimat harus berani. Muslimat kadang-kadang perlu dibelakang sebagai pendorong dan pembantu, namun ada masa dan ketikanya harus di hadapan. Sebagaimana Nusaibah yang asalnya bergerak sebagai pemberi air dan perawat luka tentera muslimin, namun, di saat yang genting, memerlukan dia untuk tampil ke hadapan berjuang di medan peperangan. Muslimat sebagai isteri solehah, ibu mithali, keutamaannya adalah mendidik anak-anak, namun tidak bererti dia harus meninggalkan lapangan dakwah dalam konteks masa kini yang memerlukan tenaga muslimat di lapangan dakwah. Jadi, harus bijak bertindak. Bagaimana? Rancang dan fikirlah.

Kelima, mujahadah dan kesabaran yang tinggi. Indahnya kesabaran dan semangat jihad yang ditunjukkan oleh Sumayyah dalam mempertahankan aqidahnya. Hakikat kehidupan dalam perjuangan, jika mudah dan senang itu, bukan dinamakan perjuangan. Sabar kita dalam berkerjaya, sabar kita dalam menguruskan rumahtangga, sabar kita dalam menyampaikan dakwah. Andai hilang kesabaran, rebahlah kita di pertengahan jalan.

Sedikit teladan yang boleh saya ambil daripada beberapa orang pejuang muslimat terdahulu. Entri ini akan saya sambung untuk part 2. yang akan saya cuba fokuskan kepada peranan isteri yang berkerjaya dan juga seorang pendakwah. Apapun, asasnya, bagi saya perlu ada kelima-lima ciri tersebut, barulah dapat membina bait al-dakwah yang diinginkan. SUAMI TENANG, ISTERI SENANG, PERJUANGAN PASTI MENANG! ALLAHUAKBAR!!