Thursday, February 4, 2010

Manusia MATERIALISTIK


“Aku rasa sikitla sepuluh tu..” kata seorang teman saya. Saya terkejut. Sepuluh ribu sikit?!!

“Eh, dah banyak sangatla tu..” balas saya padanya.

“Sekarang ni mahal la. Setakat sepuluh tu sikit sangat..” katanya lagi.

“Tengok-tengok orang bagi kau tiga je..” usik saya.

“Aih!Kalu datang bawak tiga ribu, aku halau balik. Tak payah kawen..” katanya. Saya balasnya dengan ketawa. Dan kepala saya mula ligat berfikir. Tingginya mas kahwin zaman sekarang, sepuluh ribu masih dianggap sedikit. Huh, adat!

Itulah isu yang memeningkan kepala pihak lelaki sekarang. Betul tak? Kalau yang saya dengar, di negeri Kedah ikut tahap pembelajaran seorang wanita tu. Makin tinggi tahap pendidikan mereka, makin tinggilah nilai mas kahwinnya. Berpuluh-puluh ribu. Sampai kalau yang ada mas kahwin RM5000 pun boleh menjadi buah mulut macam-macam orang kampung dan masyarakat sekeliling. Tenat betul masyarakat kita ni.. Adat mendahului ibadat.

Masyarakat kita hari ini terlalu materialistik. Baru sahaja saya membaca sebuah artikel dari majalah Al-Islam berkaitan mas kahwin. Secara ringkasnya, artikel itu menyebut umpama jatuh nilai seorang wanita jika mas kahwinnya rendah. Macam murahlah.Adakah boleh disamakan nilai seorang wanita itu dengan wang ringgit? Sungguh! Saya tidak sanggup dipandang begitu.

Nilai kebendaan mula menjadi suatu perkara penting dalam kehidupan manusia kini. Pentingnya kita menghalakan segala urusan perkahwinan ini kembali kepada ketetapan agama Islam.

“Wanita solehah itu maharnya rendah.”

Cukuplah dengan kadar kemampuan pihak lelaki untuk memberikan mas kahwin kepada bakal isterinya. Barulah ada keikhlasan dalam pemberian bukan datang dari rasa terdesak. Kadang-kadang ketetapan mas kahwin yang tinggi inilah yang mengundang lambatnya berlangsung perkahwinan, berleluasanya penzinaan. Kerana sepatutnya kesenangan yang ditetapkan di dalam Islam, diberatkan oleh adat yang sukar sangat untuk dibuang. Kaya betul masyarakat kita dengan adat!

Teringat saya kepada persolan ustaz Zamri kepada saya dalam majlis ilmunya.

“1 + 1 = 2. betul atau tidak?”

“Betul..” jawab saya dengan yakin.

“Kalau saya kata 1 + 1 =3. Betul atau salah?”

Saya mula ragu-ragu.. “Kalau ikut ilmu matematik, jawapannya tak betul..”

“Kalau ikut falsafah matematik?”
tanya dia lagi..Saya mula gelabah. Apa falsafah matematiknye?? Dan akhirnya, jawapan saya, “Wallahu’alam..” Tersenyum dia dengan jawapan saya.

Katanya, inilah cara mendidik kita yang berteraskan material. Satu ditambah satu, merujuk kepada benda sudah pasti jawapannya dua. Tetapi yang perlu kita semua sedar, semua perkara tidak akan berlaku tanpa keizinan Allah. Dari persepsi yang lain, seorang lelaki dikahwinkan dengan seorang perempuan, akan hasilnya anak dengan izin Allah. Maka, sifir itu telah berubah kepada 1 + 1 = 3. Ianya adalah hukum alam. Dari persepsi yang berbeza, dapatlah satu soalan itu kepada jawapan yang berbeza. Nilai kebendaan telah membentuk satu jawapan mutlak sehingga meletakkan kesalahan kepada jawapan yang bertentangan dengan nilainya. Maka keluarlah produk dari sekolah-sekolah yang mula memandang tinggi terhadap nilai kebendaan. Di sinilah peranan pendidik harus dimainkan membawa arah metod mendidik kepada ketuhanan, Tuhan kita yang satu, ALLAH SWT.

Apa yang menggusarkan, sifat materialistik ini menjadi penyakit berat di dalam gerakan Islam hari ini. Bayangkan, ada kelompok pejuang ini, membahaskan soal infak hampir satu jam! Susahnya nak buat keputusan untuk menetapkan nilai. Apabila kita biasa nampak akan nilai kebendaan itu, banyak dan sedikit, menjadikan masa yang sepatutnya dihabiskan untuk membincangkan isu yang lebih berat, dihabiskan dengan melihat nilai harta yang banyak dikeluarkan untuk perjuangan. Sehingga hampir kita lupa, nilai ganjaran yang tidak berasaskan kebendaan menanti kita di akhirat kelak. Astaghfirullah...

Mudahan, hati dan jiwa kita suci dari penyakit yang cintakan harta dunia yang tidak kekal lama ni..Petua dari saya, saat kita rasa sedikitnya harta/duit kita, saat kita rasa tidak cukup apa yang ada untuk diri kita, terus sahaja keluarkan harta-harta atau duit kita itu sebagai sedekah. Agar hati kita cepat terdidik, yang bahawasanya harta yang ALLAH bagi kepada kita itu adalah pinjaman, dan daripada harta itu juga masih ada hak orang lain yang memerlukannya. Perbanyakkan sedekah dan infak di jalan ALLAH, mudahan terdidik jiwa kita untuk bersederhana dalam kehidupan..

HINDARI JIWA DAN JASAD DARI SIFAT MATERIALISTIK... HULURKAN TANGAN RINGANKAN BEBAN..