Monday, August 16, 2010

Sapaan Ramadhan Yang Menghiburkan Hati..


Alhamdulillah, di saat ini, di waktu ini tidak dapat digambarkan betapa tinggi kalam syukur kepada Tuhan Pencipta Sekalian Alam, Yang berkuasa menghidupkan dan mematikan, yang telah memanjangkan umur saya dan para pembaca sekalian sehingga bertemu Ramadhan kali ini..

Sapaan Ramadhan kali ini diharap dapat menghiburkan hati para hamba Allah yang menantikan saat-saat indah, pada tawaran yang menakjubkan, yang sangat menguntungkan kita semua, di mana semua pintu-pintu Neraka ditutup, yang hanya dibentangkan jalan-jalan ke Syurga. Maka beruntunglah mereka yang mengambil segala peluang yang ditawarkan selama sebulan ini. Semoga diri saya, ahli keluarga saya dan seluruh pembaca sekalian tidak termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi.. Agar pengakhiran di madrasah Ramadhan ini, kita semua di anugerahkan Lailatulqadar dan dapat meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNya, InsyaALLAH..

Nasihat Ramadhan Orang-orang Soleh.

Sedikit perkongsian dari saya daripada pembacaan sebuah buku bagi saya menarik untuk dijadikan santapan bagi mereka yang ingin meningkatkan kualiti Ramadhan berbanding tahun-tahun lepas.

Berkata Ibnu Qayyim, “Orang yang berpuasa itu sebenarnya tidak melakukan sesuatupun. Dia hanya meninggalkan pekerjaan demi Rabbnya, iaitu meninggalkan segala perkara yang disukainya dan pelbagai kenikmatan dunia demi menggapai cinta dan reda ALLAH swt.”

Orang-orang soleh memelihara puasa mereka dengan memelihara 5 perkara iaitu:
1. Memelihara hati
Hati-hati orang soleh akan berpuasa selari dengan jasadnya yang menahan lapar dan minum. Mereka menjauhkan sifat-sifat yang merosakkan hati seperti hasad dengki, niat buruk, berburuk sangka, iri hati, permusuhan dan sebagainya yang berkaitan hati. Jadi, cek hati kita yang satu itu, adakah sama-sama berpuasa ataupun hanya jasad kita sahaja yang berpuasa.

2. Memelihara lidah
Orang soleh sentiasa memelihara lidah mereka dari berkata dengan perkataan yang sia-sia. Ibnu Abbas r.a pernah berkata kepada lidahnya, “ Wahai lidah, katakanlah perkara yang baik,nesacaya akan beruntung atau berdiamlah daripada perkataan yang buruk nescaya akan selamat.”. Generasi salafussoleh cukup berhati-hati dengan bicaranya agar tidak mengeluarkan prkataan yang sia-sia dan menghilangkan rasa keindahan puasa mereka. Ucapan Ibnu Mas’ud r.a, “Demi Allah, tidak ada suatupun di dunia ini yang harus dijaga secara ketat dan lebih lama daripada lidah.”

3. Memelihara mata
Mereka juga menahan mata daripada memandangkan perkara-perkara yang haram, dan menghalanginya daripada perbuatan keji. Mata mereka lebih suka menatap ayat-ayat cinta dari ALLAH dan mengulang hafalan al-Quran.

4. Memelihara telinga
Telinga mereka juga turut berpuasa daripada mendengar perkara-perkara yang haram. Kita sekarang banyak menyibukkan diri kita mendengar hal-hal orang lain sebagai mengisi kekosongan waktu makan kita. Maka itu menjadikan kita orang yang tidak membawa telinga sebagai sebahagian daripada puasa kita.

Adab-adab yang menghiasi orang-orang soleh ini menjadikan puasa mereka itu begitu indah. Mereka cukup menghargai puasa yang mereka lakukan. Sikap inilah yang membawa mereka kepada kenikmatan dalam berpuasa.

Ramai di kalangan kita hari ini, seperti sabda Rasulullah, “Ramai yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga.” Kerana puasa mereka hanya pada jasad bukan pada jiwa mereka. Mereka tidak menghayati dan menghargai tawaran hebat yang diberikan ALLAH ini.

Sama-samalah kita merebut peluang yang hanya datang setahun sekali sahaja ini. Rugilah kita andai ini Ramadhan terakhir kita, dan kita membiarkan ia berlalu tanpa mendapat pengampunan daripada ALLAH swt..