Sunday, February 22, 2009

INDAHNYA KESUSAHAN ITU..

Seringkali melakar akan kesusahan sebagai suatu bebanan yang kadang-kadang memberi tekanan yang menyesakkan. Padahal lakaran kesusahan itu jika dilukis dengan keindahan pada mata hati maka ketenangan itu hadir. Hadir dari segenap sudut. Indahnya kesusahan itu!!

Susah itu indah apabila ia menjadi jambatan kepada dekatnya kita dengan ALLAH yang ESA..
Susah itu indah apabila ia mengingatkan kita akan rahmat ALLAH itu berada di mana-mana..
Susah itu indah apabila memberikan kita buah kesabaran yang tinggi..
Susah itu indah apabila melahirkan hati yang lembut..
Susah itu indah apabila menjadikan kita gigih berusaha..
Susah itu indah apabila kita menghargai segala yang berada di sekeliling kita..
Susah itu indah apabila ia datang ketika kita lalai dan alpa..
Susah itu indah apabila keyakinan kepada ALLAH mengiringinya..
Susah itu indah apabila kita sambutnya dengan senyuman..Senyuman yang berpanjangan..
Susah itu indah apabila kita hanya akan ingat satu nama, ALLAH,ALLAH, ALLAH..
Susah itu indah dengan lakaran keindahan dalam hati kita..
Indah, sungguh INDAH!!
“Janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH, sesungguhnya tidaklah berputus asa dari rahmat ALLAH kecuali orang-orang yang kafir..” (Yusuf:87)

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah: 216)

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah- daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." (Surah Al-Imran :200)

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" (Surah Al-Baqarah:45)

(^0^)/ caiyok syuhadah!! (^_~)

~ min qalbi ~

ADA APA DENGAN SAMPAH..

Pernah tak anda lakukan perkara-perkara ini:

1) Anda sedang menaiki kenderaan sambil meminum air kotak soya. Habis sahaja minuman tersebut, anda ingin membuang kotak yang sudah di kira termasuk dalam kumpulan sampah. Disebabkan anda sedang menaiki kenderaan, dan tidak mahu mengotorkan kenderaan anda, dan tiadanya tong sampah bergerak di atas jalan raya, anda mengambil keputusan untuk melemparkannya saja keluar dari kenderaan anda dan dengan berkata, “Apa guna ada Majlis Perbandaran. Nanti diorang akan tolong kutipkan..”

2) Di tangan anda ada sampah. Anda ternampak satu kawasan yang bukannya tempat pembuangan sampah, tapi ramai yang letak sampah mereka di situ. Anda pun tumpang sekaki dengan membuang sampah anda di situ.

3) Tong sampah yang anda jumpai telah penuh, tapi anda ingin juga menyumbat sampah ke dalam tong tersebut. Apabila sampah yang anda letak sudah tidak muat dan menyebabkan ia terjatuh keluar, anda tidak mempedulikannya kerana meyakini akan ada yang datang mengutipnya.

4) Anda campak sampah ke dalam tong sampah, tapi tak masuk. Disebabkan kawasan tong sampah itu tak berapa bersih sangat, anda biarkan sahaja sampah itu berada di luar tong sampah.

5) Anda memang membuang sampah merata-rata. Tak pedulikan kebersihan sekeliling anda.

Um, remeh kan perkara yang saya sentuh di atas? Sekadar sampah dan tong sampah..Tapi kan, pernah tak kita fikir, semua itu sebenarnya melambangkan akhlak kita? Bukan sekadar akhlak, tapi akidah kita kepada ALLAH. Kenapa begitu??

Kita selalu fikir, bila sebut DOSA, maka dikaitkan dengan tinggal solat, buka aurat, tak puasa Ramadhan, buat zina, menipu, mencuri dan sewaktu dengannya. Tapi, jarang di antara kita fikir sebenarnya perihal ‘membuang sampah’ ini juga boleh mengundang dosa..

Sewaktu kita membuang sampah, pernah tak terfikir, “Kalau aku buang sampah merata-rata ni, ALLAH nampak. Nanti ALLAH tanya kat akhirat kelak..” Pernah tak fikir? Kalau kita dah membuang sampah merata-rata dengan meyakini bahawa tiada siapa tahu pun kita yang buang sampah ni, bermakna kita telah memperkecilkan kuasa ALLAH yang MAHA MELIHAT setiap perbuatan kita itu. Sekalipun sekecil mana pun sampah itu, ia tetap dikira dan bakal dipersoalkan oleh ALLAH di akhirat kelak. Takut tak kalau ALLAH tanya kita, “Kat mana kau buang sampah tu?!Kau telah menzalimi makhluk yang lain!” dan Allah pun murka pada kita..Ish, mengenangkan siksaan ALLAH sudah cukup dahsyat..Tak takut ek??

Orang yang membuang sampah merata-rata dan tidak mempedulikan kebersihan ini juga melambangkan akhlak mereka. Akhlak yang buruk. Terkilan saya sewaktu sukan sekolah baru-baru ini apabila selesai sahaja sukan di khemah rumah masing-masing penuh dengan sampah. Hati saya terdetik, “Diorang ni memang tak takut persoalan ALLAH di akhirat kelak..” Dan lagi menyedihkan, pelajar-pelajar boleh tengok saja kami guru-guru mengutip sampah yang diorang sepahkan. Lagila sedih saya dengan sikap pelajar hari ini..Dari sudut membuang sampah pun dah dapat nilai akhlak pelajar kita hari ini.



Sabda Rasulullah SAW :
“Dijadikan Allah bagiku bumi ini sebagai masjid..” (Riwayat Bukhari)

Apa maksudnya tu? Maksudnya bumi ini, di mana-mana pun boleh dijadikan tempat sembahyang. Dengan syarat ianya bersih dan suci. Jadi, betapa Rasulullah menyampaikan mesej pada kita agar menjaga kebersihan walau di mana kita berada. Agar di bumi dan di tanah yang kita pijak itu, kita boleh mendirikan solat..Indah kan Islam itu. Akhlak dari sudut membuang sampah dan menjaga kebersihan pun dititik beratkan. Rugilah kita sebagai penganutnya yang tak mengamalkan apa yang diajar dalam agama kita..Rugi..rugi..

Abang saya, bawa sampah untuk dibuang ke tong sampah besar dan meletakkan plastik sampah di atas bonet kereta. Dalam perjalanan, sampah itu terjatuh dan berterabur di tengah jalan. Dia turun dari kereta, dan mengutip satu-satu sampah yang berterabur itu walaupun ramai yang melalui jalan itu memandangnya dengan pandangan pelik dan mungkin ada pandangan sinis. Yelah, kutip sampah yang berterabur di tengah jalan, bukannya kutip barangan berharga. Malu, memang dia malu..Tapi, sungguh! Saya sangat puji akhlak tersebut. Kenapa? Cuba bayangkan kalau dia tak mengutipnya..Sampah itu berterabur di tengah jalan, menyakitkan mata yang memandang. Seorang lalu, pasti ada yang mengutuk. Berapa banyak kutukan dia akan dapat atas kesilapan dia jika tak emngutip sampah tu. Dan sudah pasti, yang paling berat kalau di tanya oleh ALLAH di akhirat kelak..Apala agaknya jawapan kita. “Aku malu la ya ALLAH nak kutip sampah tu..” ataupun “Tak sengajala ya ALLAH. Sampah tu jatuh dengan sendirinya..” Mampu ke kita jawab macam tu?? Tepuk dada, tanya IMAN..

Sekadar menyampaikan perkongsian yang saya kira cukup ringan, namun ramai yang meremehkan. Semoga kita lebih mengambil berat akan kebersihan dan buanglah sampah di tempat yang sepatutnya. Fikirlah apa yang bakal dipersoalkan ALLAH di akhirat kelak. Semua itu melambangkan akhlak dan keimanan kita..Kalaulah semua rakyat Malaysia ini berakhlak mulia dan menjaga kebersihan........

Saturday, February 7, 2009

Oh Perak..

Isu Palestin masih belum reda sepenuhnya, kini kita digemparkan oleh suasana politik negeri Perak. Saya memang agak teruja untuk mengetahui keadaan sebenar politik Perak, apa pergolakannya yang sebenar, apa penjelasan MB perak.. Namun, sedikit kecewa kerana di sekolah-sekolah hanya membekalkan suratkhabar yang jelasnya menyediakan laporan yang tak pernah menunjukkan keneutralan mereka. Syukur, rumah sewa saya tiada kemudahan TV, kalau tak, sudah pasti satu rumah pun menjadi ‘panas’ dan sakit hati mendengarkan laporan TV3 yang secara terangan memihak kepada kerajaan. Memang sukar umat sekarang untuk bercakap benar kan??

Suasana bilik guru pun agak kecoh. Pagi-pagi lagi dah ada guru-guru yang bertekak tentang isu Perak ini. Yang menyokong kerajaan Pakatan Rakyat dengan hujahnya dan yang menyokong kerajaan BN pun tak letih menimbulkan banyak isu. Saya tersenyum mendengar perbualan tersebut. Hati saya terdetik, “Guru sekarang bukan boleh disekat-sekat pemikiran dan kehendak mereka hanya dengan beberapa helai kertas perjanjian yang mengongkong..” . Lega melihat guru sekarang bukan lagi penakut untuk meluahkan dan memberikan pendapat masing-masing tentang isu poltik negara. Guru juga adalah rakyat Malaysia, dan setiap rakyat malaysia mempunyai hak untuk bersuara. Ini termaktub dalam perlembagaan. So, para guru dan bakal guru, usah risau dan takut dengan pendirian anda yang kadang-kadang bercanggahan dengan kerajaan, kerana kita rakyat berhak bersuara.. Dan ALLAH tak bersama pemimpin yang zalim..

Tenang hati saya melihat wajah Dato’ Seri Mohd Nizar Jamalluddin. Sentiasa tersenyum walaupun berhadapan masalah dan ancaman yang saya kira cukup besar. Betullah, ketenangan itu datangnya dari ALLAH dan dihembuskan kepada hati-hati yang dekat denganNya. Dengan ketenangan itu, saya kira PR sudah menang..

Apapun, saya suka kepada titah Sultan kepada Dato’ Seri Mohd Nizar, “Innallaha ma’assobirin..” ALLAH bersama orang-orang yang sabar. SABAR..Sabar itu indah.. Namun begitu, saya yakin rakyat sendiri pun sudah lama sabar dengan karenah pemimpin-pemimpin negara yang korup!!Siapa? Um, sendiri nilai dan fikirlah..

Buat rakyat negeri Perak dan semua yang inginkan keadilan dan kebenaran tertegak di bumi Malaysia ini, jangan berhenti meminta pertolongan ALLAH. Jika mereka ada media massa, ada gas pemedih mata, ada FRU yang setia, ada duit berjuta-juta, semuanya tidak mampu melawan kuasa ALLAH yang Maha Esa.. Ini sahaja senjata kita yang paling kuat untuk menentang mereka. Mereka umpama Gajah yang tidak bermaruah, bertelinga besar, namun sangat pekak dan tuli apabila sang semut-semut yang gigih dan sabar ini bersuara. Gajah-gajah inilah yang membutakan mata mereka memijak-mijak hak sang semut dengan angkuhnya! Suatu masa nanti, semut-semut ini juga mampu menjadi kuat..Mampu menumbangkan gajah!! Tiada yang mustahil pada kuasa ALLAH SWT..

Saya bersama perjuangan Islam dan menegakkan kebenaran..Adakah YB Zambry yang baru mengangkat sumpah itu bersama perjuangan Islam dan kebenaran? Um, fikir-fikir, timbang-timbang, semoga dipandu dengan cahaya kebenaran..

Tuesday, February 3, 2009

MEDAN APLIKASI + TARBIYAH


3 tahun setengah, saya disumbat dengan bermacam teori untuk berhadapan dengan pelajar, untuk mengajar, untuk kawal pelajar..Namun, sampai ke medan aplikasi, saya jadi buntu apabila berhadapan dengan pelajar..teori tinggal sekadar teori...Tiada satu pun yang mampu di aplikasikan apabila saya berhadapan dengan pelajar..Pengalaman ini bukan untuk menakutkan mereka yang bakal keluar untuk menjejakkan kaki ke sekolah sebagai salah seorang warga pendidik, namun, sekadar mohon kita sedar akan realiti sebenar lapangan pendidikan kita pada hari ini.

Baru 1 bulan saya berpraktikal. Saya diamanahkan untuk mengajar pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 2. Dari sudut content sudah pasti ia tidaklah sesukar upper form, namun, menghadapi pelajar-pelajar inilah yang kadang-kadang menyebabkan saya cukup terkilan. Pertama, AKHLAK YANG TERUK.. Kedua, TIADA RASA HORMAT PADA GURU. Hakikat ini yang perlu diterima oleh semua bakal pendidik bahawa kita mengalami krisis keruntuhan akhlak yang sangat teruk di kalangan remaja kita. Dan kitalah insan yang paling depan berhadapan dengan krisis ini.

Sekolah, institusi yang selalu meletakkan target membentuk pelajar yang cemerlang dari segi AKADEMIK yang utama, namun banyak mengabaikan pembentukan akhlak dan peribadi yang mulia di kalangan pelajar. Mesyuarat, aktiviti, sentiasa meletakkan target kecemerlangan akademik. Dengan target inilah, guru berusaha bersungguh-sungguh agar pelajar cemerlang dalam pelajaran. Hakikatnya, dalam waktu yang sama, guru semakin lupa, tugas sebenarnya adalah MENDIDIK, bukan sekadar bidang akademik namun sahsiah pelajar juga harus dibentuk. Memang betul, kita ada jawatankuasa disiplin, namun sejauhmana kah jawatankuasa ini benar-benar berfungsi dalam sebuah sekolah itu? Adakah sekadar jawatankuasa disiplin yang perlu mengambil berat akan hal ini?

“School is not for playing but for studying. Studying is not for getting good grades, but for training yourself to overcome hardships. People cannot leave alone. That’s why they learn to live with others. School is there for you to learn things like that. That’s why you need to attend regularly and graduate properly. You guys, listen carefully. You guys may not be good academically, but you guys have the most important thing as human beings. Right here (tunjuk pada hati). So go live your life with pride, confidence, and dignity.”- YANKUMI

YANKUMI, hanyalah satu watak kecil dalam komik GOKUSEN. Apa yang ingin saya sampaikan ialah, bagaimana seorang guru di dalam cerita ini berusaha membentuk pelajar-pelajarnya yang bermasalah, bukan untuk mendapat keputusan yang cemerlang kerana mereka sangat lemah dalam pelajaran, namun belajar menghormati guru, menjadi insan yang berguna dan berakhlak mulia. Satu mesej yang cukup jelas apabila hakikat guru hari ini begitu tidak suka untuk mengajar pelajar yang lemah dalam akademiknya kerana yakin mereka tidak mampu membantu menaikkan nama sekolah dari sudut akademik malah sentiasa mengundang masalah disiplin dan memburukkan nama sekolah. Namun, guru hanya pandai mencemuh, banyak mengabaikan hak pelajar ini yang perlu diajar bagaimana menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada masyarakat.

Saya memang terkilan berhadapan dengan pelajar saya sekarang. Setiap hari saya berfikir, bagaimana saya boleh didik akhlak mereka. Saya berhadapan dengan pelajar 3 bangsa yang berbeza, dan mempunyai gaya tersendiri apabila berhadapan dengan guru. Bagaimana didikan yang harus saya sediakan untuk mereka? Jujurnya, saya sangat buntu. Inilah medan tarbiyah dan dakwah yang cukup besar untuk saya sekarang ini.

Sungguh, saya tidak bencikan mereka. Sedikitpun saya tidak mahu mencemuh mereka. Saya memang sedih dengan akhlak mereka, namun tidak bermakna saya mahu tinggalkan mereka dalam keadaan mereka tidak tahu apa yang sebenarnya perlu mereka belajar. Apa yang penting, saya perlu tahu, hasilnya bukan dalam masa 2 atau 3 hari, namun mungkin mengambil masa yang sangat lama..Mudahan, ALLAH golongkan saya di kalangan orang-orang yang sabar.

“Ya ALLAH, bukakanlah pintu hati pelajar-pelajarku ini. Jadikanlah mereka insan yang berguna kepada agama. Lembutkanlah hati mereka untuk menerima teguran dan didikan. Perbaikkanlah akhlak mereka dan jangan tinggalkan mereka, Ya ALLAH. Bimbinglah mereka, kurniakanlah hidayahMu kepada mereka. Ya ALLAH, tidak mungkin aku akan bencikan saudaraku sendiri, tidak mungkin aku akan mengabaikan mad’u aku dari pelbagai agama, tidak mungkin aku mampu mendoakan yang tidak baik untuk mereka. Maka dengan rahimMu ya ALLAH, bantulah aku mendidik mereka untuk menjadi insan yang berakhlak mulia, berbudi pekerti mulia. Kurniakanlah aku kesabaran dan dekatkanlah aku denganMU. Jangan tinggalkan aku dalam urusan dakwah ini. Kurniakanlah rasa kasih dan sayang aku pada mereka. Bantulah aku..”