Thursday, November 20, 2008

Kenapa Bertudung Labuh

Saya selalu ditanya, “Akak ambil Pendidikan Islam ke?”. Soalan ini ditanyakan apabila melihat penampilan saya yang bertudung labuh. Saya hanya tersenyum. Hati saya bercampur antara perasaan geram dan cukup rendah diri..dan jawapan saya pun kadang-kadang menjadi dua.

Pertama, “Tak. Matematik je..” ini jawapan apabila saya fikir jauhnya diri saya berbanding taraf ustazah dan mereka yang ambil pendidikan Islam.

Kedua, “Pelajar Pendidikan Islam je ke yang boleh bertudung labuh?” Ini jawapan berbentuk sindiran untuk sesetengah orang yang bertanya apabila saya dah geram dengan pertanyaan sebegini.

Kenapa nak geram?? Kerana pemikiran masyarakat kita hari ini yang tak betul..Pemikiran masyarakat yang perlu dibetulkan. Pemikiran masyarakat yang agak sempit dan sukakan pelabelan..

Malaysia mengamalkan sistem pendidikan yang sekular. Dengan sistem pendidikan inilah, pandangan masyarakat pun juga dipusing agar berpandangan, hanya pelajar sekolah agama yang layak bertudung labuh, hanya yang belajar pengkhususan agama Islam sahaja yang layak menyampaikan tentang Islam.. Saya cukup tak puas hati dengan sistem ini. Pernah saya bercita-cita, mengumpulkan mereka yang benar-benar faham tentang Islam dalam bidang pendidikan ini, tidak kira apa kos yang mereka ambil, dan menubuhkan sebuah sekolah swasta, menggunakan sistem pendidikan yang benar-benar berteraskan Islam, menyelitkan tentang agama dalam silibus pengajaran Matematik, Sains, Bahasa dan semuanya. Barulah tidak ada pengasingan dan pelabelan lagi. Barulah mampu memusingkan kembali pemikiran masyarakat hari ini. InsyaALLAH, saya mahu merealisasikan impian ini. Kalau tidak mampu menubuhkan sebuah sekolah, cukuplah sistem pendidikan ini bertukar wajah..

Bertudung labuh bukan milik mereka yang bersekolah agama, bukan kewajipan buat mereka yang mengambil pengkhususan dalam pengajian Islam, bukan untuk mereka yang memilih untuk belajar di pondok tapi untuk semua yang mengatakan Tuhan mereka adalah ALLAH yang Maha Esa. Kenapa? Kerana dalam satu firman ALLAH SWT:

“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat), kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya).....” (An-Nur:31)

Dalam firman ALLAH ini, ALLAH tak menyebut ‘pelajar-pelajar sekolah agama’ ataupun ‘pelajar pondok’ tapi ALLAH menyebut ‘para perempuan yang beriman’ yang mengkhususkan untuk semua wanita yang beragama Islam supaya melabuhkan tudung sehingga menutup paras dada. Jadi, milik siapakah tudung labuh itu? Jawapannya kewajipan untuk semua!

Sewaktu zaman persekolahan, saya memilih untuk menyambung ke sekolah sains dengan keputusan UPSR saya. Walaupun bukan sekolah agama, saya bertekad untuk memakai tudung labuh. Kerana ini yang kedua ibubapa saya ajar, agama saya ajar. Dan sudah pasti, saya adalah antara orang yang ganjil. Saya pernah di ‘sound’ oleh senior sewaktu saya di tingkatan 1,

“Tudung labuh adalah diharamkan!”

Tidak kurang juga yang memberi bermacam-macam gelaran. ‘superman’ dan ‘ikan pari-pari’ itu adalah biasa. Tudung besar dan labuh boleh disamakan dengan dua benda itu.. Ada juga yang kadang-kadang sanggup berhenti dan memberi salam, “Assalamualaikum ustazah.” Kemudian ketawa beramai-ramai. Salam itu antara dua, hormat atau perli..hanya mereka yang tahu.

Alhamdulillah, semua ini mengajar saya akan kehidupan. Di akhir zaman, mereka yang mengamalkan Islam umpama menggenggam bara api..Bayangkan..Sakit kan? Namun, janji ALLAH itu indah-indah semuanya. Janji ALLAH itu pasti. Jadi tidak perlu diragukan.

“Islam itu datang dalam keadaan dagang (asing) dan akan kembali dagang. Beruntunglah orang-orang yang dagang (asing).”


Jadi, itulah sebabnya saya bertudung labuh. Jangan tanya lagi apa kos yang saya ambil. Dan persoalan itu sepatutnya ditukar kepada semua wanita yang beriman, “Kenapa tak bertudung labuh?”..

Buat semua, tutuplah aurat anda..Setiap aurat itu adalah maruah kita.. Jangan biarkan maruah kita tercemar. Islam itu indah, senang bukan payah..Permudahkan jangan susahkan..ringankan jangan beratkan..JOM COVER AURAH!!

Sunday, November 16, 2008

KELUARGA BAGAIMANA YANG KITA MAHU?

Hari itu, selesai dari kelas tambahan PM Ghazali, kami singgah di kedai makan depan Pintu Timur.. Disebabkan kerana belum breakfast, maka kami bercadang makan tengahari di sana.. Sambil makan, seorang sahabat saya membaca suratkhabar hari itu.. kes hangat, Norman ditangkap khalwat dengan Memey..Maka, masing-masing menjadi pengulas isu yang tidak bertauliah..(hehe)

“Tengokla, sebelum kawin dah ringan-ringan, dok mustahil lepas kawin boleh main dengan perempuan lain,” ujar sahabat saya, Nasuha..Saya mengangguk. Kak Mimi masih khusyuk membaca surat khabar.

“Orang perempuan ni, bila dah berkeluarga, dah ada anak, jarang yang fikir nak cari lain..tumpuan dah bertukar kepada keluarga. Boleh pulak Norman main dengan perempuan lain dalam Abby tengah berpantang..” saya memberikan pandangan. Sedikit timbul rasa kasihan saya pada Abby Abadi. Namun, siapa tahu pergolakan keluarga itu sebenarnya. Saya pernah melihat rancangan Bersamamu di TV3 ketika Abby menjadi salah seorang tetamu jemputan. Menangis dia melihat kesusahan sepasang suami isteri dalam berusaha mencari sesuap rezeki untuk anak-anak. Masih saya ingat kata-katanya, “Untung makcik, dalam keadaan susah masih kekal tanpa bercerai..” Dan saya kira kata-katanya lebih kepada muhasabah kepada dirinya yang ketika itu pernah bercerai talak satu dan dirujuk kembali oleh Norman.

“Kalu kita nak keluarga yang baik, anak-anak yang baik kena bermula dari peringkat awal lagi. Dari awal perhubungan kita sebelum kahwin lagi..Kena betul-betul jaga..nak anak-anak yang baik, yang soleh, dari sekarang kena doa. Bukan tunggu kahwin, mengandung 2 3 bulan baru nak doa kurniakan aku anak yang soleh..” Nasuha kembali menyambung pandangannya. Sekali lagi saya menyetujui kata-katanya.

“Tengok artis sekarang, kahwin majlis besar-besaran, heboh satu Malaysia, last-last cerai.. majlis pun dah banyak tak betulnya, bagaimana nak bentuk keluarga yang kukuh..Bagaimanala ALLAH nak redha dan berkati keluarga yang mereka nak bina..” sambungnya lagi.

“Itulah masyarakat Islam kita hari ini..Memandang perkara tu biasa. Adat dibesarkan, syariat diketepikan. Islam anjurkan kita membuat majlis tapi bersederhanalah..Mas kahwin berpuluh-puluh ribu..sebab adat la, ramai fikir susahnya nak kahwin. Pastu, banyakla maksiat, berzina, tangkap khalwat..itu yang besar-besar..yang bermesej tak tentu hala, telefon tiap masa, sama jugak saham dosanya..” tambah saya sambil bermuhasabah diri yang serba kurang ini.

Dan perbualan di meja makan itu banyak membincangkan tentang batas-batas pergaulan. Biarlah saya berpegang pada pendapat yang tegas dalam perhubungan ini mudahan saya lebih berhati-hati, dan sentiasa menguatkan iman, teguh dengan pegangan agar tidak tersasar dari landasan. Kalau hari ini kami membincangkan teori, membincangkan hal kejadian di sekeliling kami, bagaimana jika ALLAH menguji kami dengan ujian seperti ini..Adakah mampu mengawal nafsu yang sentiasa ingin menguasai diri? Tepuk dada tanya iman..

KELUARGA DAKWAH YANG INGIN DIBINA

Teringat saya kepada pesanan seorang ustazah..

“Apakah yang kamu mahukan dalam sebuah perkahwinan? Adakah sekadar untuk melepaskan nafsu yang dikawal sebelum membina rumahtangga? Bercinta habis-habisan selepas berkahwin sehingga meninggalkan matlamat sebenar pembentukan rumahtangga itu sendiri..”

Ustazah itu panjangkan lagi dengan menerangkan tentang Maratibul amal. Dimana bermula dari Fardhul muslim sehinggalah terbentuknya Khilafah, segalanya adalah wasilah untuk mencapai keredhaan ALLAH..Maka betapa pentingnya membentuk bait al-dakwah agar zuriat yang dilahirkan juga adalah penyambung dakwah dan perjuangan baginda. Jadi, permulaanya adalah dari individu muslim itu lagi. Andai inginkan pasangan yang beriman, yang soleh, yang berada di jalan dakwah, harus dimulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu.

“Pasangan anda adalah cermin kepada diri anda sendiri..” sambung ustazah lagi.

Apabila ingin membentuk sebuah bait al-dakwah, maka perlu mengambil kira perhubungan dari pra-perkahwinan, hari perkahwinan dan seterusnya..

“Bait al-dakwah adalah medan semaian (melahirkan zuriat yang soleh/ah), medan tarbiyyah, medan dakwah, medan jihad, medan pengorbanan dan medan mencapai kemuncak cinta hakiki. Bait al-dakwah merupakan wasilah untuk melahirkan masyarakat dakwah bukan medan untuk memenuhi fitrah semata-mata, bukan medan nafsu cinta berahi, bukan medan mengumpul harta dan juga bukan medan berseronok/ bersenang dengan keluarga..” kata ustazah itu lagi. Sedikit menyentuh diri ini agar sentiasa memperkemaskan niat, dan menjaga niat dan keinginan sebenar dalam membentuk sebuah rumahtangga. Mudahan diri ini tidak tersasar dari matlamat sebenar.

“Perlu diingat, muslimat yang bekerja juga bukan untuk mencari nafkah, bukan untuk mengumpul harta, tapi adalah untuk tujuan dakwah..”

Satu perkara lagi, apabila ustazah itu menyentuh hal rukun usrah. Katanya, kebanyakan pendakwah hari ini hanya mengaplikasikan rukun usrah dalam usrah-usrah mereka, namun lupa, pengaplikasian yang sebenar adalah diperingkat pembentukan keluarga dakwah itu sendiri. Bermula dari ta’aruf, tafahum dan akhirnya takaful..Andai ketiga-tiga rukun usrah ini tidak digunakan dalam konsep pembentukan rumahtangga, maka boleh runtuhlah sesuatu institusi keluarga itu.

Ustazah juga sangat bertegas berkaitan tabarruj pada hari perkahwinan,
“Berkahwin dengan pasangan yang hebat agamanya, diri sendiri pun berdakwah ke sana ke mari, tapi masa majlis perkahwinan, dahlah bermekap, pakaian pun ada yang ketat, berkilat. Dah tak nampak rupa daie dah. Apa peranan si suami selepas akad tu?Biarkan saja isteri berkeadaan begitu.. Permulaan nak bentuk keluarga di hari perkahwinan dah pincang, apa yang akan berlaku seterusnya??” tegas ustazah bersuara tentang perkara ini. Mudahan saya juga mampu mempertahankan hal ini sewaktu hari perkahwinan saya suatu hari nanti. Tabarruj..Kadang-kadang dipandang enteng oleh muslimat daieah zaman sekarang. Kononnya untuk mendekati mad’u, bimbang mad’u takut melihat kita, akhirnya melanggar segala apa yang ditetapkan oleh syara’..Dosa bertambah, mad’u tak tambah-tambah..

Pengakhirannya, ustazah itu menekankan 3 langkah bermula dalam fasa pra perkahwinan. Pertama, berpegang kepada prinsip tauhid tentang jodoh. Redha dengan ketentuan ALLAH dan sentiasa bersangka baik dengan ALLAH siapapun yang ALLAH hadirkan untuk menjadi pasangan kita. Kedua, perlu kenali diri sendiri, kenali keluarga sendiri, keinginan keluarga dan yang penting, betulkan tasawwur berkaitan bait al-dakwah..Dan yang ketiga adalah berpegang teguh kepada konsep al-iffah (kesucian) dan al- wafa’ (kesetiaan). Mudahan dipelihara hubungan kerana ALLAH ini dan terbentuk rumahtangga dakwah yang ingin dibina.

“Ya ALLAH kurniakanlah kepada kami pasangan kami dan anak-anak yang menyejukkan mata kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Wednesday, November 12, 2008

Telah berakhir..

Alhamamdulillah..Tamatlah sudah Exam terakhir saya di Ibu Kandung Suluh Budiman.. Setelah menghabiskan 3 jam menjawab soalan bagi kertas Pembolehubah Kompleks, kepala pun dah pening-pening, tersalah urat tengkuk, asyik menunduk mengira penyelesaian kepada soalan yang jawapannya tidak tahu betul atau salah..yang pasti tidak sempat saya nak menoleh ke kiri mahupun ke kanan. Sempat menjeling jam besar di hadapan sahaja sebab tiada jam di tangan..Apapun, seperti setiap sem sebelum ini, apabila tiba sahaja subjek major(matematik) yang melibatkan pengiraan yang cukup rumit, tempat exam pasti di Taman Universiti, tak pun di tempat-tempat yang mempunyai meja yang muat letak sebuah buku bersaiz sederhana. So, tadi banyakla adegan ‘terjun’ sang pembaris, kejap-kejap pemadam..Mujurlah kalkulator tak ikut terjun sama..Bertambahla sedikit keserabutan nak manage kedudukan kertas soalan, kertas jawapan, kalkulator dan alatulis di atas meja. Maka akhirnya, ribaan saya menjadi meja kedua..hehe

Setelah selesai peperiksaan tadi, terus saya bermesej dengan Ma..Memaklumkan telah tamat peperiksaan terakhir saya di UPSI..Ma membalas kembali mesej saya dengan beberapa pesanan dan satu kata-kata yang membuatkan saya termenitis air mata..

“Ucapan sekalung tahniah di atas kejayaan, kesabaran dan istiqamah mengharungi lautan ilmu di UPSI. Ma Ayah cukup-cukup berbangga..”

Terharu seketika..Terasa ingin terbang pulang ke kampung..Namun, berderet-deret tugasan lain lagi datang..2 3 hari lepas ma ada mesej, kesian ayah kepenatan..Membina rumah sendirian untuk anak-anak..Disebabkan tidak ada adik beradik lelaki di rumah yang boleh menolong ayah, ayah angkat batu, angkut pasir, buat simen, semuanya sendiri..Bayangkan rutin kerjanya sebagai pensyarah, bertolak dari rumah sebelum jam 7 pagi dan balik semula hampir jam 6 petang. Dan terus tukar uniform nya untuk masuk ke ‘pejabat’ keduanya..Malam, ayah sudah kepenatan..Selalu juga mengadu sakit-sakit dan lenguh-lenguh badan..Kalau dulu, saya selalu jadi tukang urut ayah, tapi sekarang, dahla jarang-jarang balik rumah, kalau tolong urut pun, ayah mesti kata, “Tangan syadah dop gagoh mace dulu doh..” huhu..tangan dah tak kuat sebab dah lama tak praktis silat. Kalau dulu, saya seorang pesilat. Jadi tangan saya kuatla juga.. Tapi sekarang, dah lama tinggal, bersukan pun teramatlah jarang..Maka, ayah pun merasai semakin lemahnya tangan saya..

Sebenarnya, saja je nak buat excercise tangan..Lama meninggalkan punat-punat laptop ni..Ada yang bagi petua, kalau nak hebat menulis, kena menulis dan terus menulis..Betul ke?? Belum cuba belum tahu..Hehe

Sebelum berundur, bagi yang masih lagi bertungkus lumus stadi, SELAMAT STUDY..Mana-mana yang dah habis exam dan dah bersiap sedia nak berangkat pulang, SELAMAT BERCUTI..Panjang umur, boleh bertemu lagi..InsyaALLAH..

“Kita sering mahukan hari yang CERAH..tetapi ALLAH lebih mengetahui, hakikatnya HUJAN perlu diturunkan..
Kita sering inginkan KESERONOKAN..jauh sekali KESUSAHAN..tetapi ALLAH lebih mengetahui KESUSAHAN itulah yang mengajar KEHIDUPAN..
Kita sering menginginkan KETENANGAN, hakikatnya diri ini penuh dengan DOSA dan KEJAHATAN..tetapi manusia tidak dapat lari dari KESILAPAN..
Semua itu bukan suatu HUKUMAN teteapi sebagai tanda KASIH SAYANG ALLAH agar kita lebih BERIMAN..”

Tuesday, November 4, 2008

Setiap kali..

Setiap kali mendapat nikmat
Jarang ku sedari itu pemberianMu
Tekadang rasa itu kerana
Segala usaha dan penat lelah ku sahaja

Setiap kali ditimpa musibah
Ku mengeluh risau bertambah gelisah
Hingga terlupa pada Mu Allah
Tempat kembali segala masalah

Oh Tuhan
Yang Maha Penyayang
Leraikanlah aku dari keluh kesah
Yang membelenggu jiwa dan fikiran
Ditambah dengan hasutan syaitan

Kurniakanlah kepadaku ketabahan
Singkapkanku hikmah segala ketentuan
Moga sinarmu berikanku pedoman
Hanya padaMu segala ketetapan

Seandainya diri ini
Mampu meraih cinta dan keredhaanMu
Seandainya akulah insan yang terpilih
Pilih hidupku..

*Sebuah nasyid yang saya tidak tahu kumpulan mana yang menyanyikannya..Thanks to my beloved friend that give this song to me.. (^_^)

Muslim Kids must learn how to PRAY..

Ma Pernah bertanya dengan garangnya kepada saya sewaktu saya berumur 7 tahun,
“Syadah maye Subuh dop tadi?!” Kecut perut saya mendegar jerkahan Ma.. Ketika itu saya sudah lengkap berpakaian sekolah. Abang saya hanya memerhati. Sama-sama takut. Saya tidak menjawab pertanyaan ma kerana tau saya adalah pesalah yang bakal dihukum sebentar lagi. Ma menarik baju sekolah saya dan menyuruh saya solat.

“Kecit-kecit panda nipu maye doh!Kain maye ado dale beg ma, maye paka gapo tadi?! (Kecil-kecil sudah pandai menipu sembahyang. Kain sembahyang ada dalam beg Ma. Sembahyang pakai apa tadi.)” marah Ma lagi..

Baju sekolah saya sedikit terkoyak kerana sewaktu ma tarik saya, baju tersangkut di pagar tangga rumah saya. Kecoh sebentar pagi itu. Sambil sembahyang Subuh, saya menangis teresak-esak.. dan sebagai pengajarannya selepas itu, Ma tak nak baiki baju sekolah saya yang koyak. Kerana katanya, biar saya sedar akan kepentingan solat itu sendiri. Dan sejak hari itu, saya cukup takut untuk tinggalkan solat walaupun saya baru berusia 7 tahun.

Itulah kali pertama dan kali terakhir Ma marahkan saya kerana tinggalkan solat. Sebenarnya pagi itu saya bangun lambat untuk ke sekolah. Kerana bimbang ayah tinggalkan saya, saya memilih untuk tinggalkan solat Subuh. Saya lupa yang pakaian sembahyang saya ada dalam beg pakaian Ma kerana pada malam itu kami baru sahaja pulang dari kampung. Di dalam kereta ayah merasionalkan kembali dan menegur saya agar tidak meninggalkan solat lagi.

Peristiwa ini masih segar dalam ingatan saya sehingga sekarang. Betapa pentingnya solat itu dan perlu diajar sejak dari kecil lagi. Satu sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“ Ajarlah anakmu mengerjakan sembahyang ketika ia berusia tujuh tahun, pukullah jika ia meninggalkannya semasa berusia sepuluh tahun dan pisahkanlah mereka dari tidur bersamamu.” (Riwayat Tirmizi)


Sembahyang itu perkara pertama yang akan dihisab oleh ALLAH di akhirat kelak. Pemahaman masyarakat hari ini yang perlu dibetulkan, apabila mementingkan kewajipan berpuasa sebulan di bulan Ramadhan berbanding bersolat lima waktu. Bagaimana anak-anak dididik dan umpama dipaksa berpuasa seawal usia 6-7 tahun, dan dalam waktu yang sama ibu bapa membiarkan sahaja anak-anak mereka yang berpuasa itu meninggalkan solat. Dengan alasan ‘mereka penat tu. Tak apala..’.

Untuk menjamin anak-anak agar lekat dan tidak culas dalam melaksanakan tuntutan solat ini perlu ada semaian dan penekanan sejak mereka kecil. (Syukur Ya ALLAH kerana meletakkan aku dalam didikan Ma dan Ayah). Ma dan ayah saya mengajar saya tentang solat seawal umur 4 tahun dan mereka tidak pernah menyuruh saya berpuasa sehingga umur 7 tahun. Katanya, “Kalu syadah larat, puasala..” Apapun, solat 5 waktu cukup dititik beratkan. Betapa marahnya Ma kepada saya apabila saya meninggalkan solat sekalipun umur saya baru 7 tahun.

Apabila Rasulullah menyuruh memukul anak-anak diusia 10 tahun jika meninggalkannya, maka proses pembelajaran mereka tentang solat haruslah bermula sebelum itu lagi. Mengajar mereka tentang rukun-rukun solat, bacaan dalam solat, perkara yang membatalkan solat dan banyak lagi. Andai diusia 10 tahun ibu bapa baru sibuk nak ajar dan mengarahkan anak mereka untuk solat, saya boleh katakan sudah agak lewat. Anak-anak kecil ini ibarat kain putih. Mereka akan ikut apa yang dicorakkan oleh ibu bapa sejak kecil lagi. Jika sewaktu usia mereka dalam proses pembelajaran itu tidak dicorakkan bab solat, maka sukarlah untuk memberi penekanan apabila mereka sudah dewasa.

Masyarakat kita hari ini suka menghalang anak-anak menggangu mereka solat. Padahal dalam proses itu, mereka sedang belajar dan memerhatikan orang dewasa untuk bersolat. Anak saudara saya, belum cukup umur 1 tahun, apabila melihat kami selesai solat dan berzikir, mulutnya turut sama mengikut rentak zikir dan berserta pergerakan badan sekali. Pantang dengar orang membaca al-Quran dan berzikir, laju sahaja dia mengikutnya walaupun tidak jelas apa yang diperkatakannya. Tidak mustahil, kanak-kanak sebesar itu, apabila sentiasa memerhati ibu bapa solat, mereka akan senang mengikutnya melainkan ibu bapa sendiri culas dan malas menunaikan solat.

Firman Allah SWT:
“Orang-orang yang jika Kami berikan kedudukan di atas muka bumi, mereka mendirikan sembahyang.”

Rasulullah pernah ditanya tentang sebaik-baik amal. Baginda bersabda:
Sembahyang pada awal waktunya.”
Baginda ditanya lagi: “Kemudian apa?”
“Berbuat baik kepada ibu bapa.”
“Kemudian apa lagi?”
“Berjihad pada jalan Allah.”..(
Riwayat Bukhari)

Jadi apapun, solat 5 waktu juga didahulukan. Tak guna mengejar puasa sunat, solat hajat dan amalan-amalan sunat yang lain andai solat 5 waktu ini diabaikan. Didiklah anak-anak kita sejak dari kecil lagi mengenal ALLAh dan ajarlah mereka solat. Dengan solat inilah mampu membentuk peribadi muslim yang unggul jika solat itu benar-benar dihayati..InsyaALLAH..

*saya ingin mendidik anak-anak saya seperti Ma dan Ayah mendidik saya..Mudahan dapatlah saya waqafkan mereka di jalan ALLAH SWT..InsyaALLAH..


Monday, November 3, 2008

Something we can share..


Gambar tu ialah hasil seni my brother, Syazwan a.k.a Abe yang memberikannya kepada saya..Sekadar kata-kata semangat buat seorang adik, mudahan diri ini tidak lemah dan tidak berhenti mengharap kepada ALLAH dalam senang dan susah..Dan kertas tu sentiasa terlekat di dinding / board stadi saya..



"Bila kau letih dan hilang semangat, Allah tahu betapa kau telah cuba sedayamu..

Bila tangisanmu berpanjangan dan hatimu kedukaan, Allah telah mengira air matamu..

Bila kau rasa ketinggalan dan masa meninggalkan mu, Allah setia di sisimu..

Bila kau telah mencuba segala tetapi tanpa tujuan, Allah ada jalan penyelesaian.

Bila tiada bererti buatmu keliru dan kecewa, Allah adalah jawapannya..

INGATLAH !!ALLAH SENTIASA BERSAMA KITA."