Wednesday, April 21, 2010

di belenggu KEJAHILAN


Mengajar matematik agak memenatkan. Sekali penerangan tidak mencukupi. Kadang-kadang perlu ulang dan ulang sampai berkali-kali dalam satu masa. Panjang nafas saya tarik, diselangi selawat dan istighfar dalam hati. Takut-takut hilang kesabaran dalam diri ini. Kena mengajar kelas belakang-belakang ini, benar-benar mendidik kesabaran. Mencari juga, apakah puncanya sehingga susah mereka menerima ilmu semudah operasi tambah biasa.

“Kamu semua solat subuh pagi tadi?” tanya saya.

Hampir semua menjawab, “Tidak!” dengan selambanya. Jauh dari rasa malu mahupun kekesalan dalam diri. Malah seakan-akan bangga meninggalkan solat.

“Kenapa tidak solat?” tanya saya lagi. Macam-macam jawapan yang saya dapat. Mengantuklah, malaslah, tak sedar, tak biasa dan macam-macam lagi. Saya cuba memberi nasihat.

“Orang yang tinggalkan solat ni jangan berangan nak masuk syurga. Saya akan pastikan tiada siapa yang akan lulus matematik kalau ada yang tinggalkan solat 5 waktu..” tegas saya. Wajah mereka sedikti berubah. Macam-macam respon lagi saya dapat.

“Kamu tinggal solatlah yang jadikan kamu tidak faham apa yang saya ajar. Hati dah hitam berkarat dah.Ilmu tak boleh masuk..” sambung saya lagi. Beberapa minit saya berceramah, saya kembali menyambung pengajaran saya. Memandangkan tidak ada waktu khusus untuk solat Asar dalam jadual waktu pelajar, saya menghentikan awal 10 minit kelas untuk membawa pelajar saya ke surau untuk solat Asar.

Satu persatu saya perhatikan mereka mengambil wudhu’. Beberapa ketika, seorang pelajar lelaki sudah bersiap sedia untuk pulang.

“Cepatnya kamu solat. Berapa rakaat?” tanya saya.

“2 rakaat cikgu..” jawabnya. Saya menggeleng kepala.

“Solat Asar empat rakaat, bukan dua. Sembahyang semula empat rakaat, “ arah saya.

“Jadi, saya sembahyang lagi 2 rakaat la cikgu? Tambah dengan 2 yang tadi, cukuplah 4 rakaat kan cikgu?” balasnya. Bukan main-main pertanyaannya, malah begitu serius menunjukkan ketidak tahuan dia akan rakaat solat asar. Hebat pula dia mengaplikasikan konsep matematik. Saya menggeleng lagi..

“Bukan macam tu. Tadi solat kamu tak cukup rakaat dan kamu dah bagi salam tanda selesainya solat kan. Kena mulakan semula sebab solat tadi tak betul,” terang saya. Dia mengangguk dan kembali semula ke surau untuk solat. Tiba-tiba perasaan kasihan datang. Kalaulah hari ini, rakaat pun mereka masih tidak tahu, adakah cukup solat mereka 5 waktu setiap hari?hmmm...

TANGGUNGJAWAB SIAPA?
Kejahilan membelenggu mereka. Kebanyakan umat Islam hari ini Islam hanya pada nama. Tetapi ditanya soal solat, masih ramai yang terpinga. Apabila saya mula merotan pelajar perempuan yang tidak membawa kain sembahyang untuk waktu solat di sekolah, saya mendapat respon yang agak menyedihkan.

“Saya ndak da kain sembahyang cikgu..” Saya merenung ke dalam matanya.

“Di rumah ndak kamu solat?” tanya saya tegas. Perlahan dia menggelengkan kepala. Saya masih merotan di tangannya.

“Balik rumah, bagitau mamak sama bapakmu, belikan kain sembahyang..” pesan saya. Dia hanya mengangguk.

Jadi, bagaimana? Kalau sudah kain sembahyang tidak ada, maksudnya di rumah pun sudah pasti tidak dititik beratkan soal sembahyang. Pada siapa harus diletakkan tanggungjawab mengajar dan mendidik ini? Di peringkat mana yang harus diperbetulkan?

Pernah guru-guru mendapat respon pelajar yang ingin berubah. Apabila datang kesedaran dalam diri mereka, mereka cuba untuk berubah. Tapi, mereka menjadi sedih dan kurang sokongan apabila di rumah mereka di tegur oleh kedua ibu bapa mereka akan perubahan positif ini.

“Sudah kiamatkah?”

Ada juga yang mengadu pada saya di asrama, macam-macam. Dimarah itu dan ini apabila mereka mula menunjukkan perubahan. Saya hanya mampu berpesan, murka ALLAH itu lagi besar dari marah kedua ibu bapa mereka.

Walau dalam keadaan apa sekalipun, tanggungjawab guru mendidik pelajar agar mentauhidkan ALLAH itu harus diteruskan sekalipun pelajar kadang-kadang menghadapi pelbagai rintangan kerana sudah jahilnya suasana di sekeliling mereka..Dan tanggungjawab ini bukan hanya terbeban di bahu ustaz dan ustazah sahaja, semuanya menjadi tanggungjawab kita yang bergelar guru. Jadi sebelum kita membebaskan mad’u kita dari belenggu kejahilan, maka pastikan diri sendiri juga tidak terbelenggu dengan kejahilan demi kejahilan..

“Ya ALLAH pandulah aku menjadi insan yang TAHU untuk membimbing mereka yang TIDAK TAHU..Jadikanlah aku insan yang sentiasa AMBIL TAHU akan kejahilan yang tidak aku TAHU..”

Monday, April 19, 2010

Guru oh Guru

Bersawang sudah blog ni. Manala pegi tuannya ni..hehe

Kesibukan dengan tugasan seharian menjadikan idea hanya berlegar di fikiran tapi tak terluah melalui penulisan. Jadual sehari-hari kadang-kadang penuh, dan kadang-kadang terlalu free sampai terlalu sibuk, busy doing nothing..Inilah guru. Sarat di kepala akan tugasan yang tidak dapat dijangka bila akan berakhirnya. Berhubungan secara langsung dengan manusia, boleh menjadikan satu tekanan yang berat bagi mereka yang kurang teknik pengawalan emosi dan stress..Bukan itu sahaja, berhadapan pula dengan tugasan pentadbiran dan pengkeranian yang bermacam-macam. Ada due date yang menekan untuk sentiasa selesaikan tugasan..

Selama 4 bulan ini, entah mengapa pengurusan kerja saya tak seperti yang diri saya harapkan. Belum lagi terurus, macam tidak ada penyusunan kerja yang baik. Pemikiran mula bercabang-cabang. Hari-hari menulis apa yang perlu dilakukan, namun masih ada juga yang terlepas pandang. Melayu mudah lupa kata Mahathir..

Berada di institusi perguruan ini, terasa diri sendiri tidak berkembang. Otak dan pemikiran menjadi terhad kepada isu pendidikan. Sukar pula melangkah selangkah ke alam global. Betul kata penemuduga saya baru-baru ini. Guru sekarang dah tak berkembang otaknya..Terhad kepada hal ehwal sekolah dan pendidikan sahaja. Sudah pasti saya menyetujui kata-katanya..Kerana keadaan saya pun begitu. Mungkin suasana di sini yang tidak ada surat khabar untuk di baca, televisyen pula bukan semua orang ada, dan tidak semua berminat menonton berita. Apa yang selalu dibincangkan gossip semasa guru-guru di sekeliling, rasa tidak puas hati dengan pentadbiran, percakaran yang tak pernah ada perdamaian..Entahlah, jadilah diri ini yang malas nak memberi komen, lebih banyak mendengar dan mengangguk saja. Kurang bicara, maka akan berkuranglah stress, beban fikiran tak perlu ditambah lagi..

Rasa nak keluar dari kepompong ini. Mahu melihat dunia semasa, perbincangan yang lebih rasional kepada isu terkini dan perkembangan tarbiyah. Rupanya tak seronok bergelar ‘pemberi’ semata-mata. Terasa ingin jiwa dan hati ini disirami nasihat dan pedoman hidup. Lagi merisaukan, dalam menyirami taman hati orang lain, rupanya diri sendiri gersang dan kosong. Na’uzubillah..

Saat ini mula terbayang akan gerak kerja suatu ketika dulu bersama teman-teman di universiti, di matrikulasi..Teringinnya kembali ke zaman dahulu. Penat bekerja akan hilang lepas melihat wajah teman-teman, bahagia rasanya..Namun sekarang, penat mendaki bukit yang tak berapa tinggi selepas pulang dari sekolah, terpaksa pula berhadapan dengan pelajar lagi di asrama..Semoga pandangan kasih sayangku pada mereka menimbulkan rasa ketenangan dan bahagia di dalam diri ini...

Apapun, saya masih lagi seorang guru. Terpikul beban dakwah yang besar di bahu ini. Penat? Sudah pasti..Mendidik bukan senang, bukan mudah. Dalam keadaan pelajar sekarang yang mempunyai pelbagai ragam dan karenah masing-masing, kesabaran dan skill mendidik harus sentiasa diperbaiki untuk membina generasi bukan sahaja hebat ilmu pengetahuannya, malah berakhlak mulia, bertanggungjawab, mampu untuk memberikan sumbangan untuk keluarga, agama dan masyarakat selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (^_~)