Thursday, December 10, 2009

ISTERI, PENDAKWAH DAN KERJAYA (Part 1)


Jarang sekali saya mencoret perihal rumahtangga di ruang maya ini. Mungkin masih cetek ilmu saya tentang alam rumahtangga terutamanya dalam konteks membina bait al-dakwah. Banyak yang perlu diteliti, di hadam dan difahami. Baru sekadar teori, praktikalnya belum diuji lagi. Sekadar perkongsian dari insan yang masih lagi bertatih mengejar ilmu demi keredhaanNya..

Bergelar seorang ISTERI bukan sebuah tanggungjawab yang ringan sekalipun saya belum lagi menginjak ke alam rumahtangga. Saya suka memerhati, mencari realiti sebenar sebuah kehidupan berumahtangga, kadang-kadang mendengar pelbagai keluhan, juga membaca beberapa keindahan. Namun, segalanya belum tentu menggambarkan akan realiti alam rumahtangga yang akan saya bina mungkin suatu hari nanti.

Muslimat dakwah meletakkan target yang tinggi, bagaikan seorang SUPERWOMAN selepas kahwin. Seorang ISTERI yang menguruskan rumahtangga, seorang PENDAKWAH yang turun secara langsung di medan perjuangan dan seorang PEKERJA yang profesional yang cemerlang dalam kerjaya. Realitinya, ramai muslimat dakwah, kerana target yang tinggi ini akhirnya rebah kerana mereka sebenarnya tidak mampu menjadi seorang SUPERWOMAN seperti yang dicitakan.

SEJARAH PERJUANGAN MUSLIMAT

Penglibatan muslimat dalam gerakan dakwah dan perjuangan menegakkan kalimatul haq di atas muka bumi ini bukan perkara baru. Malah ia berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Contoh yang ditunjukkan oleh muslimat terdahulu seperti isteri pertama Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah menjadi wanita pertama yang menyahut seruan Iman. Seorang yang cukup setia menemani baginda dalam susah dan senang , tidak pernah berhenti berusaha menenangkan hati baginda, menjadi penyokong dan sumber kekuatan yang kuat kepada baginda. Saidatina Khadijah yang asalnya dari golongan bangsawan yang mempunyai harta yang banyak, menjadi sumber kewangan kepada perjuangan Islam ketika itu atas sifatnya yang sangat pemurah. Sehingga diriwayatkan, di akhir hayatnya, tidak ada harta yang tinggal padanya, semuanya diinfakkan ke jalan ALLAH SWT. Kewafatan Saidatina Khadijah membuatkan Rasulullah SAW berduka kerana kehilangan seorang isteri yang setia, pembantu
dan pembela baginda dalam melanjutkan tugas dakwah yang suci ini. Kata baginda;

“Allah tidak memberikan pengganti untukku yang lebih baik daripada Khadijah. Dia percaya kepadaku tatkala orang lain mengingkariku, dia membenarkan aku di kala orang lain mendustakanku, dia menyerahkan hartanya kepadaku tatkala orang lain menghalang aku, Allah mengurniakan keturunan melalui rahimnya tatkala aku tidak dapat daripada perempuan-permpuan lain (isteri-isteriku)”

Begitu dalamnya cinta dan sayang baginda kepada Saidatina Khadijah. Saya pasti, sukar untuk kita mencari wanita sehebat beliau dalam sejarah perjuangan muslimat hari ini.

Sejarah tidak melupakan kehebatan seorang wanita yang hebat dalam ilmu Al-Quran, hadis, ilmu fiqh, sejarah dan juga Bahasa Arab, iaitu juga salah seorang isteri baginda Rasulullah yang dikahwini pada usia yang begitu muda, Saidatina Aisyah r.a. Abu Burdah bin Musa dari ayahnya ada menerangkan bahwa ; “setiap sahabat yang menemukan kesulitan dan bertanya kepada Aisyah r.a pastilah mereka mendapat jawapan yang mantap dan ilmiah..” Tercatat juga dalam sejarah bahawa Saidatina Aisyah r.a adalah termasuk salah seorang daripada 7 orang Majlis Syura. Kehebatan Saidatina Aisyah r.a dalam bidang ilmu banyak membantu baginda dalam menyampaikan risalah dakwah terutamanya dikalangan kaum wanita.

Saya tampilkan juga seorang lagi pejuang muslimat yang cukup tegar di medan peperangan,penuh keberanian, Nusaibah binti Ka’ab. Nusaibah antara wanita yang ikut sama di dalam perang Uhud, yang tugasnya memberi minum kepada muslimin yang berperang dan terluka di siang hari. Namun di saat genting, ketika tentera muslimin dalam porak poranda akibat tidak mengikuti arahan baginda Rasulullah, beliau segera mendekati Rasulullah dengan pedang dan anak panah sebagai pelindung kepada baginda. Di dalam peperangan ini, dengan keberanian yang ada pada Nusaibah, beliau telah mendapat luka yang teruk di seluruh badannnya di mana luka itu mengambil masa selama satu tahun untuk sembuh. Nusaibah sehingga kini disebut sebagai Srikandi Perisai Nabi.

Seorang lagi srikandi yang saya suka untuk kongsikan di sini iaitu, Sumayyah, orang pertama yang bergelar syahid. Kerana teguh dengan keimanan, beliau diseksa dengan begitu kejam sekali oleh Abu Jahal. Beliau dipakaikan baju besi dan dijemur dibawah terik panas matahari yang membakar. Kerana keteguhan inilah, Abu Jahal telah merejam beliau dengan tombak sampai mati. Teringat saya akan bait-bait indah dalam lagu yang disampaikan oleh kumpulan Hijjaz akan perjuangan syahidah pertama ini.

Sabarlah keluarga Yasir bagimu Syurga di sana
Dan kau pen tega memilih syurga
Walau terpaksa berkorban nyawa
Lalu tombak yang tajam menikam jasadmu yang tiada bermaya
Namun iman di dadamu sedikit tidak berubah

Darahmu menjadi sumbu pelita iman
Sumayyah kau lambang wanita solehah
Tangan yang disangka lembut menghayun buaian
Menggoncang dunia mencipata sejarah


Bait lagu ini pernah menanam satu semangat dan keinginan yang tinggi dalam hati dan jiwa saya untuk menjadi seorang insan yang berbakti kepada agama selama kehidupan ini.

Ramai lagi pejuang muslimat yang boleh dijadikan contoh dan ikutan kita di zaman ini. Cumanya, saya tampilkan empat srikandi ini untuk saya rumuskan beberapa perkara.

Pertama, seorang isteri itu perlu ada kesetiaan dan rela hidup bersama dengan suami dalam senang dan susah. Tidak kira dalam kondisi dia seorang yang berkerjaya, yang lebih tinggi gajinya daripada suami, ataupun yang mempunyai pangkat yang tinggi dalam jamaah berbanding suami. Kesetiaan ini, mampu memberi impak yang tinggi kepada si suami dalam meneruskan perjuangan seperti setianya Saidatina Khadijah kepada baginda Rasulullah SAW. Susah senang suami dapat dirasai bersama oleh isteri dan sentiasa berada di sampingnya untuk memberikan semangat kepada suami.

Kedua, seorang isteri perlu ada kemahiran psikologi yang baik. Ilmu kejiwaan ini sangat membantu dalam kehidupan suami yang berada dalam gerakan dakwah ini. Mereka yang berjaya menguasai ilmu psikologi ini dapat membantu suami dalam perjalanan dakwah dengan tenang di samping pertolongan dari ALLAH.

Ketiga, kepentingan ilmu. Muslimat yang ingin berada dalam gerakan dakwah, perlu ada ilmu. Agar perjuangannya mempunyai sandaran dan asas. Imam Hasan Al-Banna sendiri meletakkan rukun pertama dalam arkanul bai’ah ialah FAHAM. Untuk memahami, muslimat harus dilengkapkan dengan ilmu dan menyampaikan juga berdasarkan ilmu. Sebagaimana Saidatina Aisyah r.a yang menjadi gedung ilmu, begitulah juga muslimat pada hari ini. Yusuf Qardhawi menyebut, adalah wajib bagi setiap wanita terhadap orang tuanya, anak-anaknya, serta kawan-kawan sejantina dengannya, untuk menganjurkan pembersihan aqidah dan tauhidnya dari pengaruh di luar Islam. Dan kewajipan ini memerlukan ilmu.

Keempat, muslimat harus berani. Muslimat kadang-kadang perlu dibelakang sebagai pendorong dan pembantu, namun ada masa dan ketikanya harus di hadapan. Sebagaimana Nusaibah yang asalnya bergerak sebagai pemberi air dan perawat luka tentera muslimin, namun, di saat yang genting, memerlukan dia untuk tampil ke hadapan berjuang di medan peperangan. Muslimat sebagai isteri solehah, ibu mithali, keutamaannya adalah mendidik anak-anak, namun tidak bererti dia harus meninggalkan lapangan dakwah dalam konteks masa kini yang memerlukan tenaga muslimat di lapangan dakwah. Jadi, harus bijak bertindak. Bagaimana? Rancang dan fikirlah.

Kelima, mujahadah dan kesabaran yang tinggi. Indahnya kesabaran dan semangat jihad yang ditunjukkan oleh Sumayyah dalam mempertahankan aqidahnya. Hakikat kehidupan dalam perjuangan, jika mudah dan senang itu, bukan dinamakan perjuangan. Sabar kita dalam berkerjaya, sabar kita dalam menguruskan rumahtangga, sabar kita dalam menyampaikan dakwah. Andai hilang kesabaran, rebahlah kita di pertengahan jalan.

Sedikit teladan yang boleh saya ambil daripada beberapa orang pejuang muslimat terdahulu. Entri ini akan saya sambung untuk part 2. yang akan saya cuba fokuskan kepada peranan isteri yang berkerjaya dan juga seorang pendakwah. Apapun, asasnya, bagi saya perlu ada kelima-lima ciri tersebut, barulah dapat membina bait al-dakwah yang diinginkan. SUAMI TENANG, ISTERI SENANG, PERJUANGAN PASTI MENANG! ALLAHUAKBAR!!

Saturday, November 28, 2009

Menghadapi REALITI PENGORBANAN

“Nor Syuhadah Zawawi..Cikgu dilantik menjadi warden tahun hadapan..” kata cikgu Amin kepada saya. Tidak tahu apa yang boleh digambarkan perasaan saya ketika itu. Cepat saja mata saya ingin merembeskan air. Mujur sempat saya menahannya. Terbayang akan keinginan saya untuk bersama sahabat-sahabat dalam gerak kerja Islam di Lahad Datu. Sudah pasti banyak masa yang terbatas. Terbayang juga elaun perumahan RM880 bakal dipotong dari gaji saya. Terasa banyak pula terbangnya wang itu.Terfikir juga, kalau dalam tempoh itu sudah sampai jodoh saya, mesti sukar untuk pulang melaksanakan tanggunggjawab sebagai isteri.. Kawan-kawan yang lain, masing-masing melepaskan rasa lega kerana tidak dipilih untuk menjadi warden. Maklumlah, masing-masing inginkan privacy. Menjadi warden, sudah tentu 24 jam bersama pelajar asrama.. Berat rasanya hati ini..

Tidak tahu bagaimana mahu legakan hati yang keresahan dengan taklifan ini. Lebih memberatkan, apabila guru-guru lama juga menyatakan rasa peliknya dengan pelantikan ini. Katanya, ini lantikan warden pertama dari semenanjung. Biasanya orang sabah saja yang jadi warden. Saya sedaya mungkin memujuk diri ini. Saya sampaikan berita ini pada ma. Ma membalas dengan tenang.

“Bagusla tu jadi warden..” Itu saja. Panjang juga saya berfikir. Sebelum ini memang saya ada merancang untuk membangunkan kerohanian pelajar di sekolah ini. Tidak ada cara lain sebenarnya melainkan menjadi warden. Jalan terbaik. Tapi entah mengapa, beratnya rasa hati ini. Saya menyampaikan juga kepada teman-teman seperjuangan. Balas mereka;

“Kenapa dalam ramai-ramai nti boleh terpilih?”
“EPW macam mana?”
“Nti sorang je ke?”

Merintih juga hati ini. Sebenarnya inginkan kata-kata semangat dari teman-teman, mungkin masing-masing terkejut dengan pelantikan saya sebagai warden.
Dalam rasa yang terbeban, ALLAH pilih saya untuk bersama dalam Mukhayyam di Tawau. Sampai saja di sana, tidak dapat dibendung air mata ini kerana rindunya rasa bertemu teman-teman sefikrah, suasana dalam halaqah ilmu..ALLAHUAKBAR! Tidak dapat digambarkan rasa rindunya hati ini akan suasana sebegini.

Mesej indah yang ingin ALLAH sampaikan pada saya, sentuhan isu TADHIYAH atau PENGORBANAN oleh penceramah, merenyukkan sedikit sebanyak kesenangan hidup yang saya inginkan..ALLAHUAKBAR, besarnya kasih dan sayang ALLAH yang sentiasa melorongkan kebaikan, memberikan hikmah dan petunjuk pada diri ini. Patutkah lagi diri ini berlaku derhaka kepadaNYA..

“Pengorbanan yang sebenar adalah apabila mereka yang berjuang di jalan ALLAH ini memperuntukkan hak mereka untuk perjuangan ISLAM. Setiap hari, sentiasa memperuntukkan segala apa yang ALLAH beri kepada kita untuk Islam. Peruntukkan HARTA kita, MASA kita, TENAGA kita, AKAL fikiran kita, semua itu HAK kita yang ALLAH beri tapi kita peruntukkan untuk ISLAM. Itulah pengorbanan yang sebenarnya..”

ASTAGHFIRULLAH..bukan saya tidak biasa dengar kupasan kepada tajuk pengorbanan ini, namun, inilah manusia. Yang perlu sentiasa diingatkan. Alangkah besarnya hikmah dan ruang dakwah yang ALLAH bagi bila saya menjadi warden. Bukannya terputus gerak kerja dakwah andai menjadi warden, cuma lapangannya berbeza daripada sahabat-sahabat yang lain. Sempitnya pemikiran saya sewaktu merasakan akan tidak adilnya pelantikan ini.

“Tak mengapa syuhadah, dipotong RM800 bukannya banyak berbanding sumbangan tenaga yang diperlukan di asrama sebagai warden nanti. ALLAH ganti dengan ganjaran dan rezeki yang lagi banyak dari RM800 tu..” kata kak Lia, sahabat baru yang ALLAH pertemukan di Lahad Datu ini. Terima Kasih ALLAH yang mengilhamkan kata-kata itu kepada kak Lia untuk bangkitkan semangat saya.

Inilah realiti pengorbanan di lapangan kerja sekarang. Baru sahaja ALLAH uji dengan kewangan, hampir tersungkur saya dengan kesedihan, ASTAGHFIRULLAH..Belum pun lagi melangkah ke alam perkahwinan..Semoga dikukuhkan dan diteguhkan iman di jalan ini..

SALAM AIDILADHA buat semua pengunjung blog ini. Semoga setiap masa, setiap ketika, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini menjadi pengajaran dan panduan kehidupan kita, yang hakikatnya sebuah PENGORBANAN itu tidak MENGUNDANG SEBARANG KERUGIAN.. Malah digandakan lagi ganjaran dari ALLAH swt..

Monday, November 23, 2009

Aku dan Akhirat..

Alhamdulillah.. Syukur pada Allah yang sentiasa memberikan nikmat dan rahmatNya pada diri ini yang hakikatnya banyak lalai dari mengingatiNya..Selawat dan salam buat junjungan besar, Rasulullah SAW yang aku pasakkan keinginan untuk bertemu baginda..Seinfiniti kesyukuran aku panjatkan atas umur yang dipanjangkan menandakan perjuangan aku masih lagi perlu diteruskan yang sehingga kini, aku masih lagi dalam keresahan mengenangkan sedikitnya sumbangan aku pada perjuangan..

“jiwa mereka yang hanya cintanya mencari akhirat.. laksana anak-anak akhirat.. melihat dunia dari jendela akhirat”

Kata-kata yang tertulis di blog Allahyarham ‘Ammar ini memberi impak pada diri ini untuk meneropong terus jauh ke lubuk hati, sejauhmanakah aku mengejar akhirat di sebalik wajah dunia yang penuh tipu daya ini? Astaghfirullah..Astaghfirullah..Astaghfirullah..


“Dan kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Tidakkah kamu mengerti?”-Al-An’am: 32.

“Wahai kaumku!Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal.”- Al Mu’min 39

Kehidupan dunia yang bersifat sementara ini bagaikan sebati dalam diri. Keindahannya sukar dilupakan dalam hati yang penuh kekotoran. Dalam ketaatan kepada Tuhan rupa-rupanya ada derhaka yang terselit. Sekalipun diingatkan dalam ‘ayat-ayat cintaNya’, namun hati yang sekeras batu ini seringkali terlupa akan sebuah pertemuan yang hakiki. Yang tidak ada cepat mahupun lambat dari ketentuanNya.

“Tidak ada suatu umat pun yang dapat mendahului ajalnya dan tidak pula dapat meminta penundaannya.”-Al-Hijr: 5

Hari-hari berlalu dibiarkan terbuang begitu sahaja. Benih keimanan yang pernah tertanam teguh suatu ketika dahulu, jarang dibajai, jarang disirami, tumbuh melayu menggusarkan diri yang sentiasa terperangkap dalam tipuan syaitan dan nafsu ini. Sedangkan sudah diketahui sumpah si Iblis untuk menyesatkan umat manusia agar menjadi teman bersama-sama mendiami Jahannam di akhirat kelak..

“Ia iblis berkata, ‘Tuhanku oleh kerana Engkau memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hambaMu yang terpilih diantara mereka.”-Al-Hijr: 39-40

Dan hari ini langkahku goyah. Kekosongan mula memenuhi ruang jiwa. Diri yang tidak disibukkan dengan kerja-kerja Islam, pasti tersungkur ke lembah kelalaian. Semakin jauh aku ditinggalkan, semakin longlai langkahku mengejar. Oh, tuhan..Lemahnya diri ini mengharungi lautan ujianMu..

“ Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu, tetapi jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapa yang dapat menolongmu setelah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakal.”-Ali-Imraan 160.

Allah..Allahu Allah..Allahu Allah..Allahu Allah.Ya Allah..
Tuhan ku harapkan kepadaMu
Keampunan, keredhaan, kasih sayang, kehidupan terpelihara..

Hati yang dahaga
Mengharapkan sinar cinta
Nur kasihMu yang sejati
bahagia kekal abadi

Tapi Engkau pun tahu
Onak dan duri pada duniaMu
Engkau ciptakan pagar rintangan
Harga cintaMu jiwaku korban

Tuntun langkahku ini
tunjukkan jalan yang Kau redhai
Jangan biarkan hamba terkorban dengan dunia

Selamatkan dengan rahmatMu
NamaMu biar dalam hatiku
Menanti hari dipertemuan yang abadi..

Allah Allahu Allah Allahu Allah Allahu Allah ya Allah…

Monday, November 16, 2009

From a LONELY teacher..


Sometimes
when the world is not on your side
you don't know where to run to
you don't know where to hide
you gaze at the stars in the sky
at the mountain so high
through the tears in your eyes
looking for a reason
to replace what is gone
Just remember, remember..
that you are never alone..
YOU ARE NEVER ALONE
just reach into your heart and ALLAH is always there
You are never alone
Through sorrow and through grief
through happiness and peace
you are never alone..
So now
as long for your past
prepare for your future
But knowing nothing's gonna last
You see,
This life is about a road
A straight and narrow path
To our final abode
So travel well Oh Muslim
And paradise will be your home
And always remember
That you are never alone
JUST REACH INTO YOUR HEART
AND ALLAH IS ALWAYS THERE..
YOU ARE NEVER ALONE..

Thursday, November 12, 2009

Hari ini dalam SEJARAH

Banyak kali saya diingatkan oleh guru-guru di sini, pelajar-pelajar sekolah ini tidak boleh diberi muka. Masuk kelas nyatakan ketegasan dan pendirian. Pada mulanya, saya menerima fakta itu dengan teori yang berbeza di dalam fikiran saya. Berdasarkan pemerhatian (dalam masa yang singkat), pelajar di sini perlu banyak dijadikan sebagai kawan, agar ada semangatnya untuk belajar dan datang sekolah. Itu pandangan awal saya, first impression.

Then, I got releif. Masuk ke sebuah kelas tingkatan 4, saya cuma mengambil masa untuk berkenalan dan berkongsi pengalaman, di samping menyelitkan beberapa pesanan (memandangkan peperiksaan akhir tahun dah lama berakhir). Dalam kekhusyukan saya berbicara (kerana mereka sangat suka mendengar), saya dikejutkan dengan bunyi yang kuat dari kerusi dan meja terbalik kelas sebelah. Hati saya terus terdetik, "Bergaduh lagi budak-budak ni.." pelajar-pelajar kelas saya begitu teruja. Masing-masing mahu menyertai sama. Saya cuba menenangkan mereka supaya berada di tempat masing-masing, jangan campur tangan, biar guru-guru yang uruskan. Namun, mereka berdegil..

Akibatnya, for the first time, I took this action. Saya menolak seorang pelajar lelaki yang begitu bersemangat untuk bersama dalam pergaduhan(silap-silap saya yang dipukulnya). Tangan saya memukul kuat pintu kelas dan menengking semua yang begitu teruja dengan pergaduhan tu. Tidak disangka, power juga aura tu sehingga membuatkan semua kembali ke tempat duduk masing-masing. Senyap seketika suasana kelas. (huhu~)

This is my first experience facing the 'ganas' and 'brutal' students..Semangat perkauman cukup kuat dalam diri masing-masing sehingga tidak boleh langsung menyentuh hal-hal kekeluargaan dari kaum masing-masing. Bayangkan, satu sekolah ini sudah ada 44 kaum yang berbeza. Itu sebabnya, sentiasa berlaku pergaduhan, walaupun puncanya sangatlah remeh bagi saya selaku pendatang baru dari semenanjung. Memang sangat perlu berhati-hati dalam percakapan although I'm a teacher..

Apapun, I was able to witness such a prominent side of students here. Mereka cukup ringan mulut memberi salam kepada guru-guru yang saya kira amalan ini semakin pupus di kalangan pelajar semenanjung (berdasarkan tempat saya mengajar masa praktikal dan guru ganti). Mereka juga sebenarnya mempunyai hati yang lembut, dalam kekasaran dan keganasan, mereka mudah menerima nasihat dan mendengar. Jadi, method yang paling penting untuk mengajar perlu selitkan beberapa cerita yang berkaitan sebab mereka sangat suka :-)

Sekadar perkongsian..Kadang-kadang guru terlalu mengejar kecemerlangan sedangkan mereka tahu tahap kemampuan pelajar mereka. Kecemerlangan yang dikejar itu kadang-kadang mengenepikan didikan akhlak, disiplin dan kerohanian dalam diri pelajar. Mudahan, anak-anak pelajar saya akan datang, boleh menjadi insan cemerlang dunia akhirat, insyaALLAH.. (^_~)/

Wednesday, November 4, 2009

Tempatku DI SINI

Sebelum berangkat ke Sabah, ayah tinggalkan satu pesanan yang cukup menggetarkan jiwa saya sebagai seorang bakal pendidik. Kata ayah, “Peluang dakwah besar di Sabah. Kalau tak buat sia-sia saja ke sana..” Ma pula sentiasa mengingatkan supaya sentiasa peruntukkan sebahagian gaji untuk perjuangan memandangkan berada di Sabah, tidak dinafikan elaunnya sangat banyak.

“Wahai orang-orang yang beriman! Infakkanlah sebahagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari ketika tidak ada lagi jual beli, tidak ada lagi persahabatan dan tidak ada lagi syafaat. Orang-orang kafir itulah orang yang zalim.” (Al -Baqarah :254

Malam terakhir di rumah, menjadikan hati saya semakin berat. Sedih datang menyelubungi diri apabila memikirkan perpisahan sementara pada jarak yang begitu jauh. Terdetik juga di hati ini, seakan tidak mahu ke sana. Malam itu juga, saudara mara datang ke rumah. Keadaannya seperti saya dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara. Meriah seketika yang menghilangkan sedikit kedukaan. Perjalanan dakwah ini sememangnya berat. Bergelar seorang pendidik, banyak yang perlu dikorbankan. Terbayang kedhaifan negeri Sabah, mungkin kawasan pedalaman menjadi penempatan saya selama bergelar guru di sana. Namun, latihan kehidupan dalam kesusahan selama berada dalam perjuangan sedikit sebanyak menyuntik semangat menolak jauh-jauh keinginan nafsu yang cintakan kesenangan dunia.

“Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (At Taubah : 41)

Alhamdulillah, seperti dibayangkan, di sinilah tempat saya, SMK Tungku, Lahad Datu. Jauh dari kesibukan bandar, di didik dengan kesusahan yang saya kira tidaklah begitu teruk. Kawasan pedalaman, yang mengajar saya erti nikmat dan syukurnya apabila ada setitik air. Inilah tarbiyah. Tarbiyah dari ALLAH untuk menguji hambanya yang suatu ketika dahulu bergegar dengan kata-kata jihad, melihatnya sampai ke tahap pengaplikasian adakah benar tergolong dalam orang-orang yang benar-benar beriman dan berjuang. Semoga saya tidak mudah rebah dalam setiap ranjau yang dihadiahkan dariNya tanda ingatanNYA pada saya. Apalah sangat dengan kesusahan yang sebesar zarah ini yang diberikanNya berbanding perjuangan Rasulullah yang bermandi darah demi Islam tercinta.

Suasana baru ini memberi banyak motivasi kepada saya. Dengan keadaan pelajar yang majoritinya muslim namun majoritinya juga tidak cukup solat lima waktu. Latar belakang keluarga dan adat kehidupan di sini jauh berbeza dengan keadaan pelajar di semenanjung. Cara berkomunikasi banyak yang perlu ditapis. Mungkin akan disalah fahamkan. Dalam masa sebulan ini, saya lebih banyak memerhati dan belajar, mencari ‘line’ yang terbaik untuk bekerja demi ISLAM.

Semoga sahabat-sahabat saya juga tidak mudah berputus asa dan sentiasa bersemangat dalam tugas mendidik anak bangsa ini agar mengenal TUHAN bukannya TUAN, mengenal KEBENARAN bukannya KEBATILAN, menjadi ISLAM bukannya SYAITAN. Masing-masing dengan cabaran masing-masing, sekolah cina, sekolah kayu, tiada elektrik mahupun air, keseorangan terpisah jauh dari sahabat perjuangan mahupun yang berada dalam cukup segala kemudahan, semoga graf perjuangan itu sentiasa menaik. ALLAHUAKBAR!

Tetapkan langkah-langkahmu
Lantangkan gema suaramu
Dunia Islam memanggilmu
Sambutlah dengan semangatmu

Jangan pernah berkeluh kesah
Pasti bersimbah peluh dan darah
Kuatkan kesabaranmu
Jangan pernah kau menyerah





Friday, October 16, 2009

MengHIJAUkan bumi SABAH

Beberapa hari yang lepas seorang sahabat mesej saya,“Ana dipostingkan ke negeri SABAH..”
Saya membaca mesej itu dengan sedikit debaran. Dan selepas itu seorang demi seorang menghantar mesej kepada saya yang mereka dapat negeri SABAH. Disebabkan semuanya adalah daripada kos Matematik, maka saya berkira-kira mungkin akan ke Sabah juga. Namun, masih mengharap kalau dapat di semenanjung mungkin lebih baik. Dan hari itu, tibalah seorang posmen menghulurkan sepucuk surat. Saya mula mengagak, “Sabah jugala aku agaknya.” Memang benar, tiada mitos mahupun dongeng lagi. Surat berwarna HIJAU itu menawarkan penempatan saya ke SABAH. Perasaan? Alhamdulillah, rasa tenang untuk menerimanya. Menanti di sana misi besar yang harus kami laksanakan. Alhamdulillah, dalam keresahan ma dan ayah melepaskan saya ke Sabah, ust Nik Zawawi memberi taujihad yang cukup berkesan. Lega hati saya mendengarnya dan semakin berkobar-kobar juga rasanya mahu ke sana.

Saya mendapat mesej dari teman saya, Syairah, “tentera Muhammad bakal menggempur Sabah!” Bersemangat mesejnya. Permusafiran ini menggendong harapan yang begitu besar yang noktah pengakhirannya ialah kematian. Perjuangan ini tidak pernah berakhir sekalipun kemenangan mampu digenggam. Dan inilah misinya. Para guru mujahidah yang bakal menggempur Sabah penghujung oktober ini.

Guru merupakan figure yang berada di barisan hadapan, berurusan secara terus dengan manusia, dari pelbagai bangsa, umur, taraf hidup mahupun tahap pendidikan. Itu sebabnya, sebuah perjuangan sebenarnya bermula dari pendidikan seorang manusia itu. Kefahaman seorang insan akan suatu kebenaran, membawa kepada pemikiran yang boleh memberikan tindakan yang positif dalam menerimanya. Lihat saja sejarah di Indonesia di mana kuasa mahasiswa mampu menundukkan sebuah pemerintahan yang zalim. Sebelum mencapai tahap seoarang mahasiswa, sudah tentu pendidikan itu bermula mengikut tahapnya. Dari Pra sekolah, sekolah rendah, menengah, kemudian baru boleh bergelar seorang mahasiswa. Perkembangan di setiap peringkat inilah yang perlu diberi penekanan agar dewasanya kelak, mampu membezakan akan kebenaran dan kebatilan. Inilah tugas para guru. Bukan sahaja memastikan kecemerlangan dalam bidang akademik malah yang paling utama berjaya membentuk insan yang berguna dan berakhlak. insyaALLAH..

Apapun, di mana sahaja kita pergi, mudahan subur mengHIJAU di situ, terang dengan cahaya BULAN di dalam kegelapan sebagaimana terangnya hati mereka menerima kebenaran dan membantu menegakkan kalimah ALLAH di muka bumi ini.

Tahniah buat sahabat-sahabat perjuangan yang di ‘tabur’ kan merata-rata di muka bumi ALLAH ini, semoga terus istiqamah menabur bakti. Teruskan perjuangan buat rus,kak hasmad, tehah dan aisyah samat di Penang, Mar, azni, TG, ijan dan ucu di negeri Sembilan, matun di Pahang, Izyan di selangor dan semua sahabat-sahabat yang bersama saya di Sabah, ijah, kak mimi, rosnah, su, Nor, wan, dan saibul. Panggilan jihad memanggil kita semua.. ALLAHUAKBAR!

“Ana ramyun min rimaa yatil islam farmi ainama shi’ta..”