Tuesday, June 1, 2010
Menghitung hari sambil bermuhasabah..
Terbaca wall post di facebook ustazah Wahibah..Cukup untuk diri ini terus bermuhasabah..Mudahan jalan menuju pembinaan sebuah masjid ini, tidak diselangi oleh kemaksiatan dan pembaziran...
Muhasabah…
Monday, May 24, 2010
Rangkuman semua..
Post kali ni merangkumkan semua yang tak sempat terluah di sini, selama blog ini terus dibiarkan bersawang..hehe
SELAMAT HARI IBU
buat semua insan yang bergelar ibu especially my ma, you are so special for me.. Thank you ALLAH kerana memilih rahimnya sebagai tempat untuk aku berada, memilih dia sebagai insan yang membesar dan mendidik aku, yang mengenalkan aku akan keagungan dan kebesaranMu, membawa aku ke jalan perjuangan..Terima kasih ma..
“Dan kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah pula. Masa mengandung sampai menyapihnya(mencerai susu) selama tiga puluh bulan, sehingga apabila dia (anak itu) telah dewasa dan umurnya mencapai empat puluh tahun, dia berdoa, “Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada orang tuaku, dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai, dan berikanlah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sungguh, aku bertaubat kepada Engkau dan sungguh aku termasuk orang muslim.” (Al-Ahqaf :15)
Semoga aku anak yang solehah pada pandanganMu dan dia..QURRATUN 'AIN..
SELAMAT HARI GURU
“Cuba bayangkan andai tinggal selangkah lagi langkah kita untuk memasuki syurgaNya..Datang satu suara, “Nanti dulu Ya Allah! Jangan benarkan cikgu itu masuk ke syurga. Kalau Kau ingin tahu, cikgu ini tidak pernah menegur kesilapanku. Dia hanya mengajar aku ilmu dunia. Dengan ilmu itu, aku semakin jauh dariMu.. Kehadirannya hanya untuk mengajar..Cukup bulan dapat gaji..Tapi akhlak kami tetap rosak..”
Selamat hari guru semua guru-guru di Malaysia. Apapun, this is my first time, sambutan hari guru sebagai seorang guru..Hmm, nothing special. cuma terkenangkan betapa susahnya guru-guru saya yang pernah mendidik saya suatu ketika dulu.. Mungkin saya ni tak nakal sangat, tapi nasib dapat anak murid nakal..hehe..
Yang paling best, teringat kata-kata pensyarah saya, "What you give, you get back.." Jadi,hari ni saya dapat balik apa yang saya buat pada cikgu saya, pelajar saya buat pada saya..huk huk huk..tergelak sendiri juga bila saya marah pelajar saya baca komik masa saya mengajar. Yela, dulu, cikgunya ni juga baca komik time dalam kelas..
Apapun, mesej di atas sekali tu, kawan saya kirimkan kepada saya. Mesej yang cukup besar peringatannya..Thanks my fren..Semoga mendidik ni, bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga..Tapi betul-betul mendidik anak pelajar supaya menjadi insan yang mengenal ALLAH dan berakhlak mulia..
LASTLY..
Happy holiday (^_^)/
Semoga setiap derap langkahku ini dalam redha dan kasih sayangMu ya ALLAH...
Wednesday, April 21, 2010
di belenggu KEJAHILAN
“Kamu semua solat subuh pagi tadi?” tanya saya.
Hampir semua menjawab, “Tidak!” dengan selambanya. Jauh dari rasa malu mahupun kekesalan dalam diri. Malah seakan-akan bangga meninggalkan solat.
“Kenapa tidak solat?” tanya saya lagi. Macam-macam jawapan yang saya dapat. Mengantuklah, malaslah, tak sedar, tak biasa dan macam-macam lagi. Saya cuba memberi nasihat.
“Orang yang tinggalkan solat ni jangan berangan nak masuk syurga. Saya akan pastikan tiada siapa yang akan lulus matematik kalau ada yang tinggalkan solat 5 waktu..” tegas saya. Wajah mereka sedikti berubah. Macam-macam respon lagi saya dapat.
“Kamu tinggal solatlah yang jadikan kamu tidak faham apa yang saya ajar. Hati dah hitam berkarat dah.Ilmu tak boleh masuk..” sambung saya lagi. Beberapa minit saya berceramah, saya kembali menyambung pengajaran saya. Memandangkan tidak ada waktu khusus untuk solat Asar dalam jadual waktu pelajar, saya menghentikan awal 10 minit kelas untuk membawa pelajar saya ke surau untuk solat Asar.
Satu persatu saya perhatikan mereka mengambil wudhu’. Beberapa ketika, seorang pelajar lelaki sudah bersiap sedia untuk pulang.
“Cepatnya kamu solat. Berapa rakaat?” tanya saya.
“2 rakaat cikgu..” jawabnya. Saya menggeleng kepala.
“Solat Asar empat rakaat, bukan dua. Sembahyang semula empat rakaat, “ arah saya.
“Jadi, saya sembahyang lagi 2 rakaat la cikgu? Tambah dengan 2 yang tadi, cukuplah 4 rakaat kan cikgu?” balasnya. Bukan main-main pertanyaannya, malah begitu serius menunjukkan ketidak tahuan dia akan rakaat solat asar. Hebat pula dia mengaplikasikan konsep matematik. Saya menggeleng lagi..
“Bukan macam tu. Tadi solat kamu tak cukup rakaat dan kamu dah bagi salam tanda selesainya solat kan. Kena mulakan semula sebab solat tadi tak betul,” terang saya. Dia mengangguk dan kembali semula ke surau untuk solat. Tiba-tiba perasaan kasihan datang. Kalaulah hari ini, rakaat pun mereka masih tidak tahu, adakah cukup solat mereka 5 waktu setiap hari?hmmm...
TANGGUNGJAWAB SIAPA?
“Saya ndak da kain sembahyang cikgu..” Saya merenung ke dalam matanya.
“Di rumah ndak kamu solat?” tanya saya tegas. Perlahan dia menggelengkan kepala. Saya masih merotan di tangannya.
“Balik rumah, bagitau mamak sama bapakmu, belikan kain sembahyang..” pesan saya. Dia hanya mengangguk.
Jadi, bagaimana? Kalau sudah kain sembahyang tidak ada, maksudnya di rumah pun sudah pasti tidak dititik beratkan soal sembahyang. Pada siapa harus diletakkan tanggungjawab mengajar dan mendidik ini? Di peringkat mana yang harus diperbetulkan?
Pernah guru-guru mendapat respon pelajar yang ingin berubah. Apabila datang kesedaran dalam diri mereka, mereka cuba untuk berubah. Tapi, mereka menjadi sedih dan kurang sokongan apabila di rumah mereka di tegur oleh kedua ibu bapa mereka akan perubahan positif ini.
“Sudah kiamatkah?”
Ada juga yang mengadu pada saya di asrama, macam-macam. Dimarah itu dan ini apabila mereka mula menunjukkan perubahan. Saya hanya mampu berpesan, murka ALLAH itu lagi besar dari marah kedua ibu bapa mereka.
Walau dalam keadaan apa sekalipun, tanggungjawab guru mendidik pelajar agar mentauhidkan ALLAH itu harus diteruskan sekalipun pelajar kadang-kadang menghadapi pelbagai rintangan kerana sudah jahilnya suasana di sekeliling mereka..Dan tanggungjawab ini bukan hanya terbeban di bahu ustaz dan ustazah sahaja, semuanya menjadi tanggungjawab kita yang bergelar guru. Jadi sebelum kita membebaskan mad’u kita dari belenggu kejahilan, maka pastikan diri sendiri juga tidak terbelenggu dengan kejahilan demi kejahilan..
“Ya ALLAH pandulah aku menjadi insan yang TAHU untuk membimbing mereka yang TIDAK TAHU..Jadikanlah aku insan yang sentiasa AMBIL TAHU akan kejahilan yang tidak aku TAHU..”
Monday, April 19, 2010
Guru oh Guru
Kesibukan dengan tugasan seharian menjadikan idea hanya berlegar di fikiran tapi tak terluah melalui penulisan. Jadual sehari-hari kadang-kadang penuh, dan kadang-kadang terlalu free sampai terlalu sibuk, busy doing nothing..Inilah guru. Sarat di kepala akan tugasan yang tidak dapat dijangka bila akan berakhirnya. Berhubungan secara langsung dengan manusia, boleh menjadikan satu tekanan yang berat bagi mereka yang kurang teknik pengawalan emosi dan stress..Bukan itu sahaja, berhadapan pula dengan tugasan pentadbiran dan pengkeranian yang bermacam-macam. Ada due date yang menekan untuk sentiasa selesaikan tugasan..
Selama 4 bulan ini, entah mengapa pengurusan kerja saya tak seperti yang diri saya harapkan. Belum lagi terurus, macam tidak ada penyusunan kerja yang baik. Pemikiran mula bercabang-cabang. Hari-hari menulis apa yang perlu dilakukan, namun masih ada juga yang terlepas pandang. Melayu mudah lupa kata Mahathir..
Berada di institusi perguruan ini, terasa diri sendiri tidak berkembang. Otak dan pemikiran menjadi terhad kepada isu pendidikan. Sukar pula melangkah selangkah ke alam global. Betul kata penemuduga saya baru-baru ini. Guru sekarang dah tak berkembang otaknya..Terhad kepada hal ehwal sekolah dan pendidikan sahaja. Sudah pasti saya menyetujui kata-katanya..Kerana keadaan saya pun begitu. Mungkin suasana di sini yang tidak ada surat khabar untuk di baca, televisyen pula bukan semua orang ada, dan tidak semua berminat menonton berita. Apa yang selalu dibincangkan gossip semasa guru-guru di sekeliling, rasa tidak puas hati dengan pentadbiran, percakaran yang tak pernah ada perdamaian..Entahlah, jadilah diri ini yang malas nak memberi komen, lebih banyak mendengar dan mengangguk saja. Kurang bicara, maka akan berkuranglah stress, beban fikiran tak perlu ditambah lagi..
Rasa nak keluar dari kepompong ini. Mahu melihat dunia semasa, perbincangan yang lebih rasional kepada isu terkini dan perkembangan tarbiyah. Rupanya tak seronok bergelar ‘pemberi’ semata-mata. Terasa ingin jiwa dan hati ini disirami nasihat dan pedoman hidup. Lagi merisaukan, dalam menyirami taman hati orang lain, rupanya diri sendiri gersang dan kosong. Na’uzubillah..
Saat ini mula terbayang akan gerak kerja suatu ketika dulu bersama teman-teman di universiti, di matrikulasi..Teringinnya kembali ke zaman dahulu. Penat bekerja akan hilang lepas melihat wajah teman-teman, bahagia rasanya..Namun sekarang, penat mendaki bukit yang tak berapa tinggi selepas pulang dari sekolah, terpaksa pula berhadapan dengan pelajar lagi di asrama..Semoga pandangan kasih sayangku pada mereka menimbulkan rasa ketenangan dan bahagia di dalam diri ini...
Apapun, saya masih lagi seorang guru. Terpikul beban dakwah yang besar di bahu ini. Penat? Sudah pasti..Mendidik bukan senang, bukan mudah. Dalam keadaan pelajar sekarang yang mempunyai pelbagai ragam dan karenah masing-masing, kesabaran dan skill mendidik harus sentiasa diperbaiki untuk membina generasi bukan sahaja hebat ilmu pengetahuannya, malah berakhlak mulia, bertanggungjawab, mampu untuk memberikan sumbangan untuk keluarga, agama dan masyarakat selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (^_~)
Wednesday, March 24, 2010
SELANGKAH KE DEPAN..
Friday, March 19, 2010
Bahasa DAI'E
“Apa dia?” tanya saya.
“Lingkah cikgu?” ulangnya sekali lagi. Telinga saya masih lagi liat mahu menangkap apa yang ditanya, kepala pula ligat mentafsir. “Apa pulak maksudnya ni..” rungut saya di dalam hati. Susahnya saya nak memahami bahasa mereka, ditambah pula mereka tidak tahu nak menukar bahasa mereka kepada bahasa standard.
Tiga kali dia mengulang persoalan yang sama. Apabila saya sudah dekat dengannya, jarinya menunjukkan ke arah garisan di dalam buku tulisnya dan bertanya sekali lagi, “Mau lingkah cikgu?” Saya tergelak sendiri. Rupanya, ‘lingkah’ itu maksudnya senggang.
“Lingkahla..” jawab saya ringkas. Entah betul atau tidak bahasa yang saya guna tu.
Banyak kali di dalam kelas, apabila pelajar saya bertanya, saya minta mereka ulang sehingga kadang-kadang sampai tiga empat kali, atau minta mereka bercakap dalam kelajuan yang minima, supaya saya mudah memahami. Mujurlah mereka tidak pula jadi menyampah untuk bertanya mahupun mengulang pertanyaan kepada saya.
Sama keadaannya apabila saya menyampaikan pengisian di surau asrama. Apabila mengajar mereka berwudhu’ dan solat ataupun saya bercerita dan memberi nasihat, saya lebih senang menerangkan dalam loghat saya, menjadi masalah pula bagi saya hendak menukar beberapa ‘term’ untuk menyampaikan pada mereka. Kadang-kadang terpinga-pinga juga mereka. Sebutan ‘khusyuk’ pun dah jadi bahan ketawa mereka..
BAHASA PENYAMPAIAN KITA
Itulah keadaannya..Terfikir juga saya, kalaulah ALLAH jadikan lidah ini keras dengan loghat kelantan, maka sudah pasti saya tidak mampu menyampaikan apa yang saya ingin mereka faham dengan jelas.
Daie perlu memiliki skill penyampaian yang jelas dan berhikmah. Intonasi yang betul, fakta yang tepat dan huraian yang mesti difahami oleh pendengar. Kalau sekadar bercakap, yang mendengar tidak faham, sudah pasti ia menjadi satu kerugian yang besar. Lagi bermasalah kalau di salah faham kan oleh pendengar. Contohnya,
“Bunuh! Jangan lepaskan dia!”
Atau..
“Bunuh? Jangan..Lepaskan dia..”
Ayat yang sama, perkataan pun sama, namun jika ditukar gaya bahasanya, maka lainlah maksudnya. Itulah yang perlu dititik beratkan oleh para daie dalam bahasa penyampaiannya. Dan skill itulah juga yang menjadi kekurangan dalam diri daie sekarang ini.
JAWAPAN DAIE
Satu lagi masalah di kalangan daie apabila datang persoalan-persoalan dari mad’u yang ingin tahu adalah cara menjawabnya. Kadang-kadang tidak berhikmah dan tidak kurang juga memandang rendah. Ataupun mungkin tidak berniat untuk menyakitkan hati mad’u tetapi terkeluar ayat-ayat yang tak sepatutnya. Satu contoh, jawapan simple, tapi berat kesannya.
“Saya takut awak tak faham..”
Belum bagi apa-apa penerangan dah ada persepsi mad’u itu tak faham. Apa respon mad’u? Agaknya..
Pertama, mungkin, “Bodoh sangat ke aku ni sampai tak boleh faham apa yang dia nak bagitahu?”
Atau, “Siapala aku ni, orang bagi penerangan pun tak boleh nak faham..”
Atau yang mungkin lagi parah, “Tobat, tak nak dah tanya lepas ni!”
So, macammana? Cara jawapan daie kadang-kadang mencipta jurang yang sangat jauh dengan mad’u. Sehingga mungkin sampai satu tahap semua mad’u akan memendamkan persoalan yang sepatutnya dirungkai dan dibantu oleh para daie. Dan akhirnya lahirlah generasi yang tidak tahu apa-apa.
Maka, bagi saya bukan sekadar komitmen duduk dalam halaqah usrah, mahupun istiqamah dalam menghadiri majlis ilmu, tapi perlu ada kursus khas untuk para daie belajar menyampaikan. Daie perlu belajar bagaimana cara untuk menyampaikan dengan cara yang berhikmah, boleh difahami dan diterima oleh mad’u. Biar kita menjadi insan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh mad’u untuk mendengar bait patah perkataan yang akan keluar dari mulut kita bukannya SYOK SENDIRI.. InsyaALLAH..
Monday, March 1, 2010
aku CINTA PADAMU..
“Allahumma solli ‘ala MUHAMMAD…”
Bergema ruang surau asrama dengan suara merdu para pelajar mengalunkan selawat ke atas baginda. Sayu seketika. Sedaya upaya saya cuba menggalakkan pelajar-pelajar ini mengamalkan sunnah baginda setiap hari.
“Pilih mana yang mudah. Cara minum air, masuk toilet, kita solat pun kita ikut sunnah baginda..Jangan tinggal solat kalau cintakan Rasulullah..” pesan saya. Mata-mata mereka menumpu ke arah saya.
“Bila tarikh hari lahir Rasulullah?” tanya saya menguji mereka.
“22 Jamadilakhir!” jawab salah seorang daripada mereka. Saya terkejut. Cepat-cepat saya senyum.
“22 Rabiul awal..” jawab yang lain..Saya menggeleng kepala..
“Yakin? Mahu buat talian hayat?” tanya saya kepada mereka. Mereka ketawa.
“Bila tarikh Valentine Day?” tanya saya lagi.
Ramai-ramai menyebut, “14 Februari!” Pantas dan penuh yakin jawapan mereka.
“Kamu tahu tarikh yang haram disambut oleh umat Islam, tapi kamu boleh lupa tarikh lahir insan yang paling mulia dan satu-satunya insan yang akan memberi syafaat kepada kita di akhirat kelak..” saya mula berbicara serius. Rasa sayu dalam hati ini. Dalam waktu yang sama, terasa diri sendiri juga banyak lagi tidak tahu akan sirah baginda. Adakah aku benar-benar mencintai mu ya Rasulullah?
“Balik bilik nanti, saya nak kamu tengok dalam kalendar Islam, berapa hari bulan kita sambut Maulidur Rasul, dan nanti saya akan tanya sorang-sorang..” sambung saya lagi. Sekurang-kurangnya apabila mereka mencari sendiri lagi senang untuk mereka ingat. Mereka mengangguk dan kemudian kami semua bersiap sedia untuk solat Isyak..
YA RASULULLAH..
Malu rasanya mengatakan cinta
Pada si dia kekasih ALLAH
Kerana dia insan mulia
Sedangkan diriku insan biasa
Ku pujuk jua hati dan jiwa
Meluahkan rasa cinta membara
Di dalam pujian ucapan selawat
Tanda penghargaan seorang umat
Bait lagu ini membawa saya kepada satu muhasabah yang menimbulkan persoalan, ADAKAH AKU MENCINTAIMU YA RASULULLAH? Bila terkenangkan perjuangan Baginda yang jauh kesusahan dan keperitannya dari sekarang, terkenangkan akan kasihnya seorang Rasul kepada umatnya sehingga akhir hayatnya disebut “Ummati, ummati, ummati..” , terkenangkan doa-doa baginda yang khusus untuk umatnya di akhir zaman ini, terpautnya pada akhlak indah baginda, segala pengorbanan baginda untuk menegakkan Islam, terasa sangat rindu dan berkeinginan untuk saya bertemu baginda.
Di saat rasa jahilnya diri, banyak yang tidak saya ketahui, saya selalu terfikir andai Baginda ada lagi di ketika ini, saya mahu duduk di hadapannya dan bertanya segalanya. Bertanya sepuas-puasnya agar diri ini tahu akan semuanya.. Tapi baginda sudah tiada..
Di saat rasa lemahnya diri ini, rebah dan kadang-kadang tidak tahu apa yang harus di lakukan, saya terasa inginkan baginda datang memberikan semangat dan panduan untuk saya sambung perjuangan baginda..Terasa ingin melihat senyumannya yang pasti mampu memberi ketenangan dan kesenangan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.
Di saat diri terlanjur melakukan kemaksiatan dan dosa, tidak dapat saya bayangkan kalau Rasulullah datang dan sedih melihat keadaan saya yang sedang melakukan dosa ini..Tidak sekali-kali saya mahu melihat wajahnya yang sedih..
Ya Rasulullah, aku ingin bertemu denganmu, dengan wajahmu yang berseri-seri memandangku. Aku ingin berada dalam barisan pejuang-pejuang islam dan sahabat-sahabatmu yang syahid di jalan ALLAH. Aku ingin minum air dari telagamu. Aku mahu mendapatkan syafaat dari mu..Ya RASULULLAH, AKU CINTA PADAMU...