Wednesday, April 21, 2010

di belenggu KEJAHILAN


Mengajar matematik agak memenatkan. Sekali penerangan tidak mencukupi. Kadang-kadang perlu ulang dan ulang sampai berkali-kali dalam satu masa. Panjang nafas saya tarik, diselangi selawat dan istighfar dalam hati. Takut-takut hilang kesabaran dalam diri ini. Kena mengajar kelas belakang-belakang ini, benar-benar mendidik kesabaran. Mencari juga, apakah puncanya sehingga susah mereka menerima ilmu semudah operasi tambah biasa.

“Kamu semua solat subuh pagi tadi?” tanya saya.

Hampir semua menjawab, “Tidak!” dengan selambanya. Jauh dari rasa malu mahupun kekesalan dalam diri. Malah seakan-akan bangga meninggalkan solat.

“Kenapa tidak solat?” tanya saya lagi. Macam-macam jawapan yang saya dapat. Mengantuklah, malaslah, tak sedar, tak biasa dan macam-macam lagi. Saya cuba memberi nasihat.

“Orang yang tinggalkan solat ni jangan berangan nak masuk syurga. Saya akan pastikan tiada siapa yang akan lulus matematik kalau ada yang tinggalkan solat 5 waktu..” tegas saya. Wajah mereka sedikti berubah. Macam-macam respon lagi saya dapat.

“Kamu tinggal solatlah yang jadikan kamu tidak faham apa yang saya ajar. Hati dah hitam berkarat dah.Ilmu tak boleh masuk..” sambung saya lagi. Beberapa minit saya berceramah, saya kembali menyambung pengajaran saya. Memandangkan tidak ada waktu khusus untuk solat Asar dalam jadual waktu pelajar, saya menghentikan awal 10 minit kelas untuk membawa pelajar saya ke surau untuk solat Asar.

Satu persatu saya perhatikan mereka mengambil wudhu’. Beberapa ketika, seorang pelajar lelaki sudah bersiap sedia untuk pulang.

“Cepatnya kamu solat. Berapa rakaat?” tanya saya.

“2 rakaat cikgu..” jawabnya. Saya menggeleng kepala.

“Solat Asar empat rakaat, bukan dua. Sembahyang semula empat rakaat, “ arah saya.

“Jadi, saya sembahyang lagi 2 rakaat la cikgu? Tambah dengan 2 yang tadi, cukuplah 4 rakaat kan cikgu?” balasnya. Bukan main-main pertanyaannya, malah begitu serius menunjukkan ketidak tahuan dia akan rakaat solat asar. Hebat pula dia mengaplikasikan konsep matematik. Saya menggeleng lagi..

“Bukan macam tu. Tadi solat kamu tak cukup rakaat dan kamu dah bagi salam tanda selesainya solat kan. Kena mulakan semula sebab solat tadi tak betul,” terang saya. Dia mengangguk dan kembali semula ke surau untuk solat. Tiba-tiba perasaan kasihan datang. Kalaulah hari ini, rakaat pun mereka masih tidak tahu, adakah cukup solat mereka 5 waktu setiap hari?hmmm...

TANGGUNGJAWAB SIAPA?
Kejahilan membelenggu mereka. Kebanyakan umat Islam hari ini Islam hanya pada nama. Tetapi ditanya soal solat, masih ramai yang terpinga. Apabila saya mula merotan pelajar perempuan yang tidak membawa kain sembahyang untuk waktu solat di sekolah, saya mendapat respon yang agak menyedihkan.

“Saya ndak da kain sembahyang cikgu..” Saya merenung ke dalam matanya.

“Di rumah ndak kamu solat?” tanya saya tegas. Perlahan dia menggelengkan kepala. Saya masih merotan di tangannya.

“Balik rumah, bagitau mamak sama bapakmu, belikan kain sembahyang..” pesan saya. Dia hanya mengangguk.

Jadi, bagaimana? Kalau sudah kain sembahyang tidak ada, maksudnya di rumah pun sudah pasti tidak dititik beratkan soal sembahyang. Pada siapa harus diletakkan tanggungjawab mengajar dan mendidik ini? Di peringkat mana yang harus diperbetulkan?

Pernah guru-guru mendapat respon pelajar yang ingin berubah. Apabila datang kesedaran dalam diri mereka, mereka cuba untuk berubah. Tapi, mereka menjadi sedih dan kurang sokongan apabila di rumah mereka di tegur oleh kedua ibu bapa mereka akan perubahan positif ini.

“Sudah kiamatkah?”

Ada juga yang mengadu pada saya di asrama, macam-macam. Dimarah itu dan ini apabila mereka mula menunjukkan perubahan. Saya hanya mampu berpesan, murka ALLAH itu lagi besar dari marah kedua ibu bapa mereka.

Walau dalam keadaan apa sekalipun, tanggungjawab guru mendidik pelajar agar mentauhidkan ALLAH itu harus diteruskan sekalipun pelajar kadang-kadang menghadapi pelbagai rintangan kerana sudah jahilnya suasana di sekeliling mereka..Dan tanggungjawab ini bukan hanya terbeban di bahu ustaz dan ustazah sahaja, semuanya menjadi tanggungjawab kita yang bergelar guru. Jadi sebelum kita membebaskan mad’u kita dari belenggu kejahilan, maka pastikan diri sendiri juga tidak terbelenggu dengan kejahilan demi kejahilan..

“Ya ALLAH pandulah aku menjadi insan yang TAHU untuk membimbing mereka yang TIDAK TAHU..Jadikanlah aku insan yang sentiasa AMBIL TAHU akan kejahilan yang tidak aku TAHU..”

1 comment:

CK said...

Sebak kaklong baca artikel ni..benar, besar sungguh pergorbanan seorang guru dalam mentarbiah anak-anak didiiknya..memang memerlukan kesabaran yang tinggi..teruskan perjuanganmu ya ukhti solehah..insyaALLAH setiap usahamu akan menjadi saham buat akhiratmu..

bi taufiq wa najah ya muallimah ;)