Monday, March 1, 2010

aku CINTA PADAMU..


“Allahumma solli ‘ala MUHAMMAD…”

Bergema ruang surau asrama dengan suara merdu para pelajar mengalunkan selawat ke atas baginda. Sayu seketika. Sedaya upaya saya cuba menggalakkan pelajar-pelajar ini mengamalkan sunnah baginda setiap hari.

“Pilih mana yang mudah. Cara minum air, masuk toilet, kita solat pun kita ikut sunnah baginda..Jangan tinggal solat kalau cintakan Rasulullah..” pesan saya. Mata-mata mereka menumpu ke arah saya.

“Bila tarikh hari lahir Rasulullah?” tanya saya menguji mereka.

“22 Jamadilakhir!” jawab salah seorang daripada mereka. Saya terkejut. Cepat-cepat saya senyum.

“22 Rabiul awal..” jawab yang lain..Saya menggeleng kepala..

“Yakin? Mahu buat talian hayat?” tanya saya kepada mereka. Mereka ketawa.

“Bila tarikh Valentine Day?” tanya saya lagi.

Ramai-ramai menyebut, “14 Februari!” Pantas dan penuh yakin jawapan mereka.

“Kamu tahu tarikh yang haram disambut oleh umat Islam, tapi kamu boleh lupa tarikh lahir insan yang paling mulia dan satu-satunya insan yang akan memberi syafaat kepada kita di akhirat kelak..” saya mula berbicara serius. Rasa sayu dalam hati ini. Dalam waktu yang sama, terasa diri sendiri juga banyak lagi tidak tahu akan sirah baginda. Adakah aku benar-benar mencintai mu ya Rasulullah?

“Balik bilik nanti, saya nak kamu tengok dalam kalendar Islam, berapa hari bulan kita sambut Maulidur Rasul, dan nanti saya akan tanya sorang-sorang..” sambung saya lagi. Sekurang-kurangnya apabila mereka mencari sendiri lagi senang untuk mereka ingat. Mereka mengangguk dan kemudian kami semua bersiap sedia untuk solat Isyak..

YA RASULULLAH..


Malu rasanya mengatakan cinta
Pada si dia kekasih ALLAH
Kerana dia insan mulia
Sedangkan diriku insan biasa

Ku pujuk jua hati dan jiwa
Meluahkan rasa cinta membara
Di dalam pujian ucapan selawat
Tanda penghargaan seorang umat


Bait lagu ini membawa saya kepada satu muhasabah yang menimbulkan persoalan, ADAKAH AKU MENCINTAIMU YA RASULULLAH? Bila terkenangkan perjuangan Baginda yang jauh kesusahan dan keperitannya dari sekarang, terkenangkan akan kasihnya seorang Rasul kepada umatnya sehingga akhir hayatnya disebut “Ummati, ummati, ummati..” , terkenangkan doa-doa baginda yang khusus untuk umatnya di akhir zaman ini, terpautnya pada akhlak indah baginda, segala pengorbanan baginda untuk menegakkan Islam, terasa sangat rindu dan berkeinginan untuk saya bertemu baginda.

Di saat rasa jahilnya diri, banyak yang tidak saya ketahui, saya selalu terfikir andai Baginda ada lagi di ketika ini, saya mahu duduk di hadapannya dan bertanya segalanya. Bertanya sepuas-puasnya agar diri ini tahu akan semuanya.. Tapi baginda sudah tiada..

Di saat rasa lemahnya diri ini, rebah dan kadang-kadang tidak tahu apa yang harus di lakukan, saya terasa inginkan baginda datang memberikan semangat dan panduan untuk saya sambung perjuangan baginda..Terasa ingin melihat senyumannya yang pasti mampu memberi ketenangan dan kesenangan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.

Di saat diri terlanjur melakukan kemaksiatan dan dosa, tidak dapat saya bayangkan kalau Rasulullah datang dan sedih melihat keadaan saya yang sedang melakukan dosa ini..Tidak sekali-kali saya mahu melihat wajahnya yang sedih..

Ya Rasulullah, aku ingin bertemu denganmu, dengan wajahmu yang berseri-seri memandangku. Aku ingin berada dalam barisan pejuang-pejuang islam dan sahabat-sahabatmu yang syahid di jalan ALLAH. Aku ingin minum air dari telagamu. Aku mahu mendapatkan syafaat dari mu..Ya RASULULLAH, AKU CINTA PADAMU...

No comments: