Monday, April 19, 2010

Guru oh Guru

Bersawang sudah blog ni. Manala pegi tuannya ni..hehe

Kesibukan dengan tugasan seharian menjadikan idea hanya berlegar di fikiran tapi tak terluah melalui penulisan. Jadual sehari-hari kadang-kadang penuh, dan kadang-kadang terlalu free sampai terlalu sibuk, busy doing nothing..Inilah guru. Sarat di kepala akan tugasan yang tidak dapat dijangka bila akan berakhirnya. Berhubungan secara langsung dengan manusia, boleh menjadikan satu tekanan yang berat bagi mereka yang kurang teknik pengawalan emosi dan stress..Bukan itu sahaja, berhadapan pula dengan tugasan pentadbiran dan pengkeranian yang bermacam-macam. Ada due date yang menekan untuk sentiasa selesaikan tugasan..

Selama 4 bulan ini, entah mengapa pengurusan kerja saya tak seperti yang diri saya harapkan. Belum lagi terurus, macam tidak ada penyusunan kerja yang baik. Pemikiran mula bercabang-cabang. Hari-hari menulis apa yang perlu dilakukan, namun masih ada juga yang terlepas pandang. Melayu mudah lupa kata Mahathir..

Berada di institusi perguruan ini, terasa diri sendiri tidak berkembang. Otak dan pemikiran menjadi terhad kepada isu pendidikan. Sukar pula melangkah selangkah ke alam global. Betul kata penemuduga saya baru-baru ini. Guru sekarang dah tak berkembang otaknya..Terhad kepada hal ehwal sekolah dan pendidikan sahaja. Sudah pasti saya menyetujui kata-katanya..Kerana keadaan saya pun begitu. Mungkin suasana di sini yang tidak ada surat khabar untuk di baca, televisyen pula bukan semua orang ada, dan tidak semua berminat menonton berita. Apa yang selalu dibincangkan gossip semasa guru-guru di sekeliling, rasa tidak puas hati dengan pentadbiran, percakaran yang tak pernah ada perdamaian..Entahlah, jadilah diri ini yang malas nak memberi komen, lebih banyak mendengar dan mengangguk saja. Kurang bicara, maka akan berkuranglah stress, beban fikiran tak perlu ditambah lagi..

Rasa nak keluar dari kepompong ini. Mahu melihat dunia semasa, perbincangan yang lebih rasional kepada isu terkini dan perkembangan tarbiyah. Rupanya tak seronok bergelar ‘pemberi’ semata-mata. Terasa ingin jiwa dan hati ini disirami nasihat dan pedoman hidup. Lagi merisaukan, dalam menyirami taman hati orang lain, rupanya diri sendiri gersang dan kosong. Na’uzubillah..

Saat ini mula terbayang akan gerak kerja suatu ketika dulu bersama teman-teman di universiti, di matrikulasi..Teringinnya kembali ke zaman dahulu. Penat bekerja akan hilang lepas melihat wajah teman-teman, bahagia rasanya..Namun sekarang, penat mendaki bukit yang tak berapa tinggi selepas pulang dari sekolah, terpaksa pula berhadapan dengan pelajar lagi di asrama..Semoga pandangan kasih sayangku pada mereka menimbulkan rasa ketenangan dan bahagia di dalam diri ini...

Apapun, saya masih lagi seorang guru. Terpikul beban dakwah yang besar di bahu ini. Penat? Sudah pasti..Mendidik bukan senang, bukan mudah. Dalam keadaan pelajar sekarang yang mempunyai pelbagai ragam dan karenah masing-masing, kesabaran dan skill mendidik harus sentiasa diperbaiki untuk membina generasi bukan sahaja hebat ilmu pengetahuannya, malah berakhlak mulia, bertanggungjawab, mampu untuk memberikan sumbangan untuk keluarga, agama dan masyarakat selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (^_~)

Wednesday, March 24, 2010

SELANGKAH KE DEPAN..

Just to wish, SELAMAT PENGANTIN BARU buat sahabat baikku, ucu @ bariyah dan ust Nizam..Semoga ALLAH panjangkan jodoh hingga bertemu cinta di syurga..
(^_~) sorry, tak da gambar..

Friday, March 19, 2010

Bahasa DAI'E

“Lingkah cikgu?” tanya seorang pelajar kepada saya. Saya menggaru kepala yang tidak gatal.

“Apa dia?” tanya saya.

“Lingkah cikgu?” ulangnya sekali lagi. Telinga saya masih lagi liat mahu menangkap apa yang ditanya, kepala pula ligat mentafsir. “Apa pulak maksudnya ni..” rungut saya di dalam hati. Susahnya saya nak memahami bahasa mereka, ditambah pula mereka tidak tahu nak menukar bahasa mereka kepada bahasa standard.

Tiga kali dia mengulang persoalan yang sama. Apabila saya sudah dekat dengannya, jarinya menunjukkan ke arah garisan di dalam buku tulisnya dan bertanya sekali lagi, “Mau lingkah cikgu?” Saya tergelak sendiri. Rupanya, ‘lingkah’ itu maksudnya senggang.

“Lingkahla..” jawab saya ringkas. Entah betul atau tidak bahasa yang saya guna tu.

Banyak kali di dalam kelas, apabila pelajar saya bertanya, saya minta mereka ulang sehingga kadang-kadang sampai tiga empat kali, atau minta mereka bercakap dalam kelajuan yang minima, supaya saya mudah memahami. Mujurlah mereka tidak pula jadi menyampah untuk bertanya mahupun mengulang pertanyaan kepada saya.

Sama keadaannya apabila saya menyampaikan pengisian di surau asrama. Apabila mengajar mereka berwudhu’ dan solat ataupun saya bercerita dan memberi nasihat, saya lebih senang menerangkan dalam loghat saya, menjadi masalah pula bagi saya hendak menukar beberapa ‘term’ untuk menyampaikan pada mereka. Kadang-kadang terpinga-pinga juga mereka. Sebutan ‘khusyuk’ pun dah jadi bahan ketawa mereka..

BAHASA PENYAMPAIAN KITA

Itulah keadaannya..Terfikir juga saya, kalaulah ALLAH jadikan lidah ini keras dengan loghat kelantan, maka sudah pasti saya tidak mampu menyampaikan apa yang saya ingin mereka faham dengan jelas.

Daie perlu memiliki skill penyampaian yang jelas dan berhikmah. Intonasi yang betul, fakta yang tepat dan huraian yang mesti difahami oleh pendengar. Kalau sekadar bercakap, yang mendengar tidak faham, sudah pasti ia menjadi satu kerugian yang besar. Lagi bermasalah kalau di salah faham kan oleh pendengar. Contohnya,

“Bunuh! Jangan lepaskan dia!”

Atau..

“Bunuh? Jangan..Lepaskan dia..”

Ayat yang sama, perkataan pun sama, namun jika ditukar gaya bahasanya, maka lainlah maksudnya. Itulah yang perlu dititik beratkan oleh para daie dalam bahasa penyampaiannya. Dan skill itulah juga yang menjadi kekurangan dalam diri daie sekarang ini.

JAWAPAN DAIE

Satu lagi masalah di kalangan daie apabila datang persoalan-persoalan dari mad’u yang ingin tahu adalah cara menjawabnya. Kadang-kadang tidak berhikmah dan tidak kurang juga memandang rendah. Ataupun mungkin tidak berniat untuk menyakitkan hati mad’u tetapi terkeluar ayat-ayat yang tak sepatutnya. Satu contoh, jawapan simple, tapi berat kesannya.

“Saya takut awak tak faham..”

Belum bagi apa-apa penerangan dah ada persepsi mad’u itu tak faham. Apa respon mad’u? Agaknya..

Pertama, mungkin, “Bodoh sangat ke aku ni sampai tak boleh faham apa yang dia nak bagitahu?”

Atau, “Siapala aku ni, orang bagi penerangan pun tak boleh nak faham..”

Atau yang mungkin lagi parah, “Tobat, tak nak dah tanya lepas ni!”

So, macammana? Cara jawapan daie kadang-kadang mencipta jurang yang sangat jauh dengan mad’u. Sehingga mungkin sampai satu tahap semua mad’u akan memendamkan persoalan yang sepatutnya dirungkai dan dibantu oleh para daie. Dan akhirnya lahirlah generasi yang tidak tahu apa-apa.

Maka, bagi saya bukan sekadar komitmen duduk dalam halaqah usrah, mahupun istiqamah dalam menghadiri majlis ilmu, tapi perlu ada kursus khas untuk para daie belajar menyampaikan. Daie perlu belajar bagaimana cara untuk menyampaikan dengan cara yang berhikmah, boleh difahami dan diterima oleh mad’u. Biar kita menjadi insan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh mad’u untuk mendengar bait patah perkataan yang akan keluar dari mulut kita bukannya SYOK SENDIRI.. InsyaALLAH..

Monday, March 1, 2010

aku CINTA PADAMU..


“Allahumma solli ‘ala MUHAMMAD…”

Bergema ruang surau asrama dengan suara merdu para pelajar mengalunkan selawat ke atas baginda. Sayu seketika. Sedaya upaya saya cuba menggalakkan pelajar-pelajar ini mengamalkan sunnah baginda setiap hari.

“Pilih mana yang mudah. Cara minum air, masuk toilet, kita solat pun kita ikut sunnah baginda..Jangan tinggal solat kalau cintakan Rasulullah..” pesan saya. Mata-mata mereka menumpu ke arah saya.

“Bila tarikh hari lahir Rasulullah?” tanya saya menguji mereka.

“22 Jamadilakhir!” jawab salah seorang daripada mereka. Saya terkejut. Cepat-cepat saya senyum.

“22 Rabiul awal..” jawab yang lain..Saya menggeleng kepala..

“Yakin? Mahu buat talian hayat?” tanya saya kepada mereka. Mereka ketawa.

“Bila tarikh Valentine Day?” tanya saya lagi.

Ramai-ramai menyebut, “14 Februari!” Pantas dan penuh yakin jawapan mereka.

“Kamu tahu tarikh yang haram disambut oleh umat Islam, tapi kamu boleh lupa tarikh lahir insan yang paling mulia dan satu-satunya insan yang akan memberi syafaat kepada kita di akhirat kelak..” saya mula berbicara serius. Rasa sayu dalam hati ini. Dalam waktu yang sama, terasa diri sendiri juga banyak lagi tidak tahu akan sirah baginda. Adakah aku benar-benar mencintai mu ya Rasulullah?

“Balik bilik nanti, saya nak kamu tengok dalam kalendar Islam, berapa hari bulan kita sambut Maulidur Rasul, dan nanti saya akan tanya sorang-sorang..” sambung saya lagi. Sekurang-kurangnya apabila mereka mencari sendiri lagi senang untuk mereka ingat. Mereka mengangguk dan kemudian kami semua bersiap sedia untuk solat Isyak..

YA RASULULLAH..


Malu rasanya mengatakan cinta
Pada si dia kekasih ALLAH
Kerana dia insan mulia
Sedangkan diriku insan biasa

Ku pujuk jua hati dan jiwa
Meluahkan rasa cinta membara
Di dalam pujian ucapan selawat
Tanda penghargaan seorang umat


Bait lagu ini membawa saya kepada satu muhasabah yang menimbulkan persoalan, ADAKAH AKU MENCINTAIMU YA RASULULLAH? Bila terkenangkan perjuangan Baginda yang jauh kesusahan dan keperitannya dari sekarang, terkenangkan akan kasihnya seorang Rasul kepada umatnya sehingga akhir hayatnya disebut “Ummati, ummati, ummati..” , terkenangkan doa-doa baginda yang khusus untuk umatnya di akhir zaman ini, terpautnya pada akhlak indah baginda, segala pengorbanan baginda untuk menegakkan Islam, terasa sangat rindu dan berkeinginan untuk saya bertemu baginda.

Di saat rasa jahilnya diri, banyak yang tidak saya ketahui, saya selalu terfikir andai Baginda ada lagi di ketika ini, saya mahu duduk di hadapannya dan bertanya segalanya. Bertanya sepuas-puasnya agar diri ini tahu akan semuanya.. Tapi baginda sudah tiada..

Di saat rasa lemahnya diri ini, rebah dan kadang-kadang tidak tahu apa yang harus di lakukan, saya terasa inginkan baginda datang memberikan semangat dan panduan untuk saya sambung perjuangan baginda..Terasa ingin melihat senyumannya yang pasti mampu memberi ketenangan dan kesenangan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.

Di saat diri terlanjur melakukan kemaksiatan dan dosa, tidak dapat saya bayangkan kalau Rasulullah datang dan sedih melihat keadaan saya yang sedang melakukan dosa ini..Tidak sekali-kali saya mahu melihat wajahnya yang sedih..

Ya Rasulullah, aku ingin bertemu denganmu, dengan wajahmu yang berseri-seri memandangku. Aku ingin berada dalam barisan pejuang-pejuang islam dan sahabat-sahabatmu yang syahid di jalan ALLAH. Aku ingin minum air dari telagamu. Aku mahu mendapatkan syafaat dari mu..Ya RASULULLAH, AKU CINTA PADAMU...

Thursday, February 4, 2010

Manusia MATERIALISTIK


“Aku rasa sikitla sepuluh tu..” kata seorang teman saya. Saya terkejut. Sepuluh ribu sikit?!!

“Eh, dah banyak sangatla tu..” balas saya padanya.

“Sekarang ni mahal la. Setakat sepuluh tu sikit sangat..” katanya lagi.

“Tengok-tengok orang bagi kau tiga je..” usik saya.

“Aih!Kalu datang bawak tiga ribu, aku halau balik. Tak payah kawen..” katanya. Saya balasnya dengan ketawa. Dan kepala saya mula ligat berfikir. Tingginya mas kahwin zaman sekarang, sepuluh ribu masih dianggap sedikit. Huh, adat!

Itulah isu yang memeningkan kepala pihak lelaki sekarang. Betul tak? Kalau yang saya dengar, di negeri Kedah ikut tahap pembelajaran seorang wanita tu. Makin tinggi tahap pendidikan mereka, makin tinggilah nilai mas kahwinnya. Berpuluh-puluh ribu. Sampai kalau yang ada mas kahwin RM5000 pun boleh menjadi buah mulut macam-macam orang kampung dan masyarakat sekeliling. Tenat betul masyarakat kita ni.. Adat mendahului ibadat.

Masyarakat kita hari ini terlalu materialistik. Baru sahaja saya membaca sebuah artikel dari majalah Al-Islam berkaitan mas kahwin. Secara ringkasnya, artikel itu menyebut umpama jatuh nilai seorang wanita jika mas kahwinnya rendah. Macam murahlah.Adakah boleh disamakan nilai seorang wanita itu dengan wang ringgit? Sungguh! Saya tidak sanggup dipandang begitu.

Nilai kebendaan mula menjadi suatu perkara penting dalam kehidupan manusia kini. Pentingnya kita menghalakan segala urusan perkahwinan ini kembali kepada ketetapan agama Islam.

“Wanita solehah itu maharnya rendah.”

Cukuplah dengan kadar kemampuan pihak lelaki untuk memberikan mas kahwin kepada bakal isterinya. Barulah ada keikhlasan dalam pemberian bukan datang dari rasa terdesak. Kadang-kadang ketetapan mas kahwin yang tinggi inilah yang mengundang lambatnya berlangsung perkahwinan, berleluasanya penzinaan. Kerana sepatutnya kesenangan yang ditetapkan di dalam Islam, diberatkan oleh adat yang sukar sangat untuk dibuang. Kaya betul masyarakat kita dengan adat!

Teringat saya kepada persolan ustaz Zamri kepada saya dalam majlis ilmunya.

“1 + 1 = 2. betul atau tidak?”

“Betul..” jawab saya dengan yakin.

“Kalau saya kata 1 + 1 =3. Betul atau salah?”

Saya mula ragu-ragu.. “Kalau ikut ilmu matematik, jawapannya tak betul..”

“Kalau ikut falsafah matematik?”
tanya dia lagi..Saya mula gelabah. Apa falsafah matematiknye?? Dan akhirnya, jawapan saya, “Wallahu’alam..” Tersenyum dia dengan jawapan saya.

Katanya, inilah cara mendidik kita yang berteraskan material. Satu ditambah satu, merujuk kepada benda sudah pasti jawapannya dua. Tetapi yang perlu kita semua sedar, semua perkara tidak akan berlaku tanpa keizinan Allah. Dari persepsi yang lain, seorang lelaki dikahwinkan dengan seorang perempuan, akan hasilnya anak dengan izin Allah. Maka, sifir itu telah berubah kepada 1 + 1 = 3. Ianya adalah hukum alam. Dari persepsi yang berbeza, dapatlah satu soalan itu kepada jawapan yang berbeza. Nilai kebendaan telah membentuk satu jawapan mutlak sehingga meletakkan kesalahan kepada jawapan yang bertentangan dengan nilainya. Maka keluarlah produk dari sekolah-sekolah yang mula memandang tinggi terhadap nilai kebendaan. Di sinilah peranan pendidik harus dimainkan membawa arah metod mendidik kepada ketuhanan, Tuhan kita yang satu, ALLAH SWT.

Apa yang menggusarkan, sifat materialistik ini menjadi penyakit berat di dalam gerakan Islam hari ini. Bayangkan, ada kelompok pejuang ini, membahaskan soal infak hampir satu jam! Susahnya nak buat keputusan untuk menetapkan nilai. Apabila kita biasa nampak akan nilai kebendaan itu, banyak dan sedikit, menjadikan masa yang sepatutnya dihabiskan untuk membincangkan isu yang lebih berat, dihabiskan dengan melihat nilai harta yang banyak dikeluarkan untuk perjuangan. Sehingga hampir kita lupa, nilai ganjaran yang tidak berasaskan kebendaan menanti kita di akhirat kelak. Astaghfirullah...

Mudahan, hati dan jiwa kita suci dari penyakit yang cintakan harta dunia yang tidak kekal lama ni..Petua dari saya, saat kita rasa sedikitnya harta/duit kita, saat kita rasa tidak cukup apa yang ada untuk diri kita, terus sahaja keluarkan harta-harta atau duit kita itu sebagai sedekah. Agar hati kita cepat terdidik, yang bahawasanya harta yang ALLAH bagi kepada kita itu adalah pinjaman, dan daripada harta itu juga masih ada hak orang lain yang memerlukannya. Perbanyakkan sedekah dan infak di jalan ALLAH, mudahan terdidik jiwa kita untuk bersederhana dalam kehidupan..

HINDARI JIWA DAN JASAD DARI SIFAT MATERIALISTIK... HULURKAN TANGAN RINGANKAN BEBAN..

Sunday, January 31, 2010

REHAT DALAM KESABARAN..

Meniti kehidupan ini, kadang-kadang kita rasa kuat menempuh segalanya. Dan kadang-kadang kita lemah dan hampir tersungkur. Kadang-kadang kita berputus asa. Kadang-kadang lambat juga kita bangkit dari kejatuhan. Kadang-kadang kita bersemangat..Kadang-kadang juga kita hilang punca..Dan kadang-kadang itu berterusan. Silih berganti, positif dan negatifnya, naik dan turunnya, sedih dan gembira..Apa yang penting, perjalanan hidup ini harus disuburkan dengan ketaqwaan, redha, dan SABAR..

“Dan (sifat-sifat yang baik itu) tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang sabar dan tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.” (Fussilat : 35)

Sunday, January 17, 2010

PERJUANGAN MESTI DITERUSKAN!

Sudah seminggu berlalu. Hati ini masih merasai akan kehilangan 2 orang sahabat yang telah pergi dan tidak akan kembali lagi. Terasa baru semalam bertemu dengan mereka. Tapi hari ini, hakikat kematian itu pasti. Mungkin seminggu yang lepas adalah masa mereka, dan akan datang, akan tibanya masa saya juga. Hampir saja saya hilang semangat untuk meneruskan kerja-kerja saya. Namun, inilah kehidupan. Tiada yang kekal abadi.. AL-FATIHAH untuk Allahyarham Fadhiri dan Allahyarham Faizol.

Sudah lama juga saya tidak menjenguk blog yang dibiarkan tidak di update. Bukannya malas, namun kekangan masa yang membuatkan penumpuan saya lebih kepada kerja-kerja yang aula dari menulis ni. Ditambah lagi, rumah baru di asrama ni, tidak dapat capaian wireless, dan waktu sekolah pula, masa saya penuh. 1 minggu 27 masa..Ya ALLAH, letih.. Rehat hanya untuk solat.

Apapun yang berlaku di sekeliling kita, PERJUANGAN HARUS DI TERUSKAN! Teringat pada bait-bait lagu Hijjaz yang menyanyikan sebuah lagu khas sempena kematian salah seorang ahli kumpulannya (arwah Soleh Ramli):

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah di atas kehendakNya Yang Esa..


Lebih kurangla..Ingat-ingat lupa juga saya akan liriknya. Yang pasti, yang hidup ini teruskan perjuangan kita. Setiap hari dan setiap detik adalah untuk perjuangan. Sesungguhnya yang pergi itu, telah memberi sumbangan yang terbaik untuk perjuangan. Tinggal lagi kita yang harus menyambungnya. Buat adik-adik di UPSI, jangan sampai kematian yang kita terima ini menjadi penghalang kepada gerak kerja kita, yang membuatkan kita lemah semangat dan lambat bangkit daripada kesedihan yang berpanjangan.

CARA ALLAH

Ketentuan ALLAH dan inilah cara ALLAH untuk menyedarkan kita. Bukan kita tak dengar kisah kematian. Saban hari, ada sahaja kematian berlaku, disebarkan di internet, di dalam berita,di akhbar-akhbar. Namun, mungkin impaknya kurang kerana kita tidak mengenali empunya jasad dan ruh yang dijemput ALLAH. Dan seminggu yang lepas, ALLAH nak kita rasa dan ambil pengajaran dari sebuah kematian. ALLAH ambil nyawa sahabat-sahabat yang dekat dengan kita. Barulah impaknya benar-benar terasa. Sakitnya apabila kehilangan orang yang kita kenal dan sayang. Barulah mula ada yang tersedar. Kalau dulu, ada yang semakin hari semakin menyepikan diri dari perjuangan, dengarnya mula bangkit menempah nama dalam barisan perjuangan. Inilah cara DIA menegur kita. Mudahan semangat dan kehendak untuk berjuang itu makin subur kerana masa kematian kita tidak siapa tahu melainkan DIA. Bersedialah...

Teruskan PERJUANGAN di lapangan masing-masing, dengan cara masing-masing..Semoga kematian yang menjemput kita nanti bukan satu kematian yang sia-sia.. MENANG atau SYAHID!