Sunday, November 16, 2008

KELUARGA BAGAIMANA YANG KITA MAHU?

Hari itu, selesai dari kelas tambahan PM Ghazali, kami singgah di kedai makan depan Pintu Timur.. Disebabkan kerana belum breakfast, maka kami bercadang makan tengahari di sana.. Sambil makan, seorang sahabat saya membaca suratkhabar hari itu.. kes hangat, Norman ditangkap khalwat dengan Memey..Maka, masing-masing menjadi pengulas isu yang tidak bertauliah..(hehe)

“Tengokla, sebelum kawin dah ringan-ringan, dok mustahil lepas kawin boleh main dengan perempuan lain,” ujar sahabat saya, Nasuha..Saya mengangguk. Kak Mimi masih khusyuk membaca surat khabar.

“Orang perempuan ni, bila dah berkeluarga, dah ada anak, jarang yang fikir nak cari lain..tumpuan dah bertukar kepada keluarga. Boleh pulak Norman main dengan perempuan lain dalam Abby tengah berpantang..” saya memberikan pandangan. Sedikit timbul rasa kasihan saya pada Abby Abadi. Namun, siapa tahu pergolakan keluarga itu sebenarnya. Saya pernah melihat rancangan Bersamamu di TV3 ketika Abby menjadi salah seorang tetamu jemputan. Menangis dia melihat kesusahan sepasang suami isteri dalam berusaha mencari sesuap rezeki untuk anak-anak. Masih saya ingat kata-katanya, “Untung makcik, dalam keadaan susah masih kekal tanpa bercerai..” Dan saya kira kata-katanya lebih kepada muhasabah kepada dirinya yang ketika itu pernah bercerai talak satu dan dirujuk kembali oleh Norman.

“Kalu kita nak keluarga yang baik, anak-anak yang baik kena bermula dari peringkat awal lagi. Dari awal perhubungan kita sebelum kahwin lagi..Kena betul-betul jaga..nak anak-anak yang baik, yang soleh, dari sekarang kena doa. Bukan tunggu kahwin, mengandung 2 3 bulan baru nak doa kurniakan aku anak yang soleh..” Nasuha kembali menyambung pandangannya. Sekali lagi saya menyetujui kata-katanya.

“Tengok artis sekarang, kahwin majlis besar-besaran, heboh satu Malaysia, last-last cerai.. majlis pun dah banyak tak betulnya, bagaimana nak bentuk keluarga yang kukuh..Bagaimanala ALLAH nak redha dan berkati keluarga yang mereka nak bina..” sambungnya lagi.

“Itulah masyarakat Islam kita hari ini..Memandang perkara tu biasa. Adat dibesarkan, syariat diketepikan. Islam anjurkan kita membuat majlis tapi bersederhanalah..Mas kahwin berpuluh-puluh ribu..sebab adat la, ramai fikir susahnya nak kahwin. Pastu, banyakla maksiat, berzina, tangkap khalwat..itu yang besar-besar..yang bermesej tak tentu hala, telefon tiap masa, sama jugak saham dosanya..” tambah saya sambil bermuhasabah diri yang serba kurang ini.

Dan perbualan di meja makan itu banyak membincangkan tentang batas-batas pergaulan. Biarlah saya berpegang pada pendapat yang tegas dalam perhubungan ini mudahan saya lebih berhati-hati, dan sentiasa menguatkan iman, teguh dengan pegangan agar tidak tersasar dari landasan. Kalau hari ini kami membincangkan teori, membincangkan hal kejadian di sekeliling kami, bagaimana jika ALLAH menguji kami dengan ujian seperti ini..Adakah mampu mengawal nafsu yang sentiasa ingin menguasai diri? Tepuk dada tanya iman..

KELUARGA DAKWAH YANG INGIN DIBINA

Teringat saya kepada pesanan seorang ustazah..

“Apakah yang kamu mahukan dalam sebuah perkahwinan? Adakah sekadar untuk melepaskan nafsu yang dikawal sebelum membina rumahtangga? Bercinta habis-habisan selepas berkahwin sehingga meninggalkan matlamat sebenar pembentukan rumahtangga itu sendiri..”

Ustazah itu panjangkan lagi dengan menerangkan tentang Maratibul amal. Dimana bermula dari Fardhul muslim sehinggalah terbentuknya Khilafah, segalanya adalah wasilah untuk mencapai keredhaan ALLAH..Maka betapa pentingnya membentuk bait al-dakwah agar zuriat yang dilahirkan juga adalah penyambung dakwah dan perjuangan baginda. Jadi, permulaanya adalah dari individu muslim itu lagi. Andai inginkan pasangan yang beriman, yang soleh, yang berada di jalan dakwah, harus dimulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu.

“Pasangan anda adalah cermin kepada diri anda sendiri..” sambung ustazah lagi.

Apabila ingin membentuk sebuah bait al-dakwah, maka perlu mengambil kira perhubungan dari pra-perkahwinan, hari perkahwinan dan seterusnya..

“Bait al-dakwah adalah medan semaian (melahirkan zuriat yang soleh/ah), medan tarbiyyah, medan dakwah, medan jihad, medan pengorbanan dan medan mencapai kemuncak cinta hakiki. Bait al-dakwah merupakan wasilah untuk melahirkan masyarakat dakwah bukan medan untuk memenuhi fitrah semata-mata, bukan medan nafsu cinta berahi, bukan medan mengumpul harta dan juga bukan medan berseronok/ bersenang dengan keluarga..” kata ustazah itu lagi. Sedikit menyentuh diri ini agar sentiasa memperkemaskan niat, dan menjaga niat dan keinginan sebenar dalam membentuk sebuah rumahtangga. Mudahan diri ini tidak tersasar dari matlamat sebenar.

“Perlu diingat, muslimat yang bekerja juga bukan untuk mencari nafkah, bukan untuk mengumpul harta, tapi adalah untuk tujuan dakwah..”

Satu perkara lagi, apabila ustazah itu menyentuh hal rukun usrah. Katanya, kebanyakan pendakwah hari ini hanya mengaplikasikan rukun usrah dalam usrah-usrah mereka, namun lupa, pengaplikasian yang sebenar adalah diperingkat pembentukan keluarga dakwah itu sendiri. Bermula dari ta’aruf, tafahum dan akhirnya takaful..Andai ketiga-tiga rukun usrah ini tidak digunakan dalam konsep pembentukan rumahtangga, maka boleh runtuhlah sesuatu institusi keluarga itu.

Ustazah juga sangat bertegas berkaitan tabarruj pada hari perkahwinan,
“Berkahwin dengan pasangan yang hebat agamanya, diri sendiri pun berdakwah ke sana ke mari, tapi masa majlis perkahwinan, dahlah bermekap, pakaian pun ada yang ketat, berkilat. Dah tak nampak rupa daie dah. Apa peranan si suami selepas akad tu?Biarkan saja isteri berkeadaan begitu.. Permulaan nak bentuk keluarga di hari perkahwinan dah pincang, apa yang akan berlaku seterusnya??” tegas ustazah bersuara tentang perkara ini. Mudahan saya juga mampu mempertahankan hal ini sewaktu hari perkahwinan saya suatu hari nanti. Tabarruj..Kadang-kadang dipandang enteng oleh muslimat daieah zaman sekarang. Kononnya untuk mendekati mad’u, bimbang mad’u takut melihat kita, akhirnya melanggar segala apa yang ditetapkan oleh syara’..Dosa bertambah, mad’u tak tambah-tambah..

Pengakhirannya, ustazah itu menekankan 3 langkah bermula dalam fasa pra perkahwinan. Pertama, berpegang kepada prinsip tauhid tentang jodoh. Redha dengan ketentuan ALLAH dan sentiasa bersangka baik dengan ALLAH siapapun yang ALLAH hadirkan untuk menjadi pasangan kita. Kedua, perlu kenali diri sendiri, kenali keluarga sendiri, keinginan keluarga dan yang penting, betulkan tasawwur berkaitan bait al-dakwah..Dan yang ketiga adalah berpegang teguh kepada konsep al-iffah (kesucian) dan al- wafa’ (kesetiaan). Mudahan dipelihara hubungan kerana ALLAH ini dan terbentuk rumahtangga dakwah yang ingin dibina.

“Ya ALLAH kurniakanlah kepada kami pasangan kami dan anak-anak yang menyejukkan mata kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

4 comments:

khaulah mujahidah said...

ameen..

syuhadah zawawi said...

ameen..

Mohabar said...

Islam mengajar agar keluarga dan rumahtangga menjadi pelabuhan yang aman, kukuh bagi setiap
ahli keluarga. Membincangkan semua hal, baik gembira maupun kesulitan yang dihadapi. Rasa
aman dan perlindungan yang dirasakan oleh anak dalam keluarga akan memberi kepadanya
kepercayaan pada diri sendiri dalam menghadapi berbagai persoalan hidupnya. Ibubapa adalah
orang pertama diharapkan dapat memberikan bantuan dan petunjuk dalam menyelesaikan
masalah anak. Seorang ibu adalah lambang kasih sayang, ketenangan dan juga ketenteraman.

"Kaum lelaki (suami) adalah pemimpin bagi kaum wanita
(isteri) oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atau atas sebahagian yang lain
dan disebabkan kerana para suami telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu
isteri yang soleh ialah yang taat kepada Allah, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak di
tempat (sebagai rasa syukur) kerana Allah telah memelihara mereka..." (An-Nisa':34).

ain solehah said...

amiin