Tuesday, November 4, 2008

Muslim Kids must learn how to PRAY..

Ma Pernah bertanya dengan garangnya kepada saya sewaktu saya berumur 7 tahun,
“Syadah maye Subuh dop tadi?!” Kecut perut saya mendegar jerkahan Ma.. Ketika itu saya sudah lengkap berpakaian sekolah. Abang saya hanya memerhati. Sama-sama takut. Saya tidak menjawab pertanyaan ma kerana tau saya adalah pesalah yang bakal dihukum sebentar lagi. Ma menarik baju sekolah saya dan menyuruh saya solat.

“Kecit-kecit panda nipu maye doh!Kain maye ado dale beg ma, maye paka gapo tadi?! (Kecil-kecil sudah pandai menipu sembahyang. Kain sembahyang ada dalam beg Ma. Sembahyang pakai apa tadi.)” marah Ma lagi..

Baju sekolah saya sedikit terkoyak kerana sewaktu ma tarik saya, baju tersangkut di pagar tangga rumah saya. Kecoh sebentar pagi itu. Sambil sembahyang Subuh, saya menangis teresak-esak.. dan sebagai pengajarannya selepas itu, Ma tak nak baiki baju sekolah saya yang koyak. Kerana katanya, biar saya sedar akan kepentingan solat itu sendiri. Dan sejak hari itu, saya cukup takut untuk tinggalkan solat walaupun saya baru berusia 7 tahun.

Itulah kali pertama dan kali terakhir Ma marahkan saya kerana tinggalkan solat. Sebenarnya pagi itu saya bangun lambat untuk ke sekolah. Kerana bimbang ayah tinggalkan saya, saya memilih untuk tinggalkan solat Subuh. Saya lupa yang pakaian sembahyang saya ada dalam beg pakaian Ma kerana pada malam itu kami baru sahaja pulang dari kampung. Di dalam kereta ayah merasionalkan kembali dan menegur saya agar tidak meninggalkan solat lagi.

Peristiwa ini masih segar dalam ingatan saya sehingga sekarang. Betapa pentingnya solat itu dan perlu diajar sejak dari kecil lagi. Satu sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“ Ajarlah anakmu mengerjakan sembahyang ketika ia berusia tujuh tahun, pukullah jika ia meninggalkannya semasa berusia sepuluh tahun dan pisahkanlah mereka dari tidur bersamamu.” (Riwayat Tirmizi)


Sembahyang itu perkara pertama yang akan dihisab oleh ALLAH di akhirat kelak. Pemahaman masyarakat hari ini yang perlu dibetulkan, apabila mementingkan kewajipan berpuasa sebulan di bulan Ramadhan berbanding bersolat lima waktu. Bagaimana anak-anak dididik dan umpama dipaksa berpuasa seawal usia 6-7 tahun, dan dalam waktu yang sama ibu bapa membiarkan sahaja anak-anak mereka yang berpuasa itu meninggalkan solat. Dengan alasan ‘mereka penat tu. Tak apala..’.

Untuk menjamin anak-anak agar lekat dan tidak culas dalam melaksanakan tuntutan solat ini perlu ada semaian dan penekanan sejak mereka kecil. (Syukur Ya ALLAH kerana meletakkan aku dalam didikan Ma dan Ayah). Ma dan ayah saya mengajar saya tentang solat seawal umur 4 tahun dan mereka tidak pernah menyuruh saya berpuasa sehingga umur 7 tahun. Katanya, “Kalu syadah larat, puasala..” Apapun, solat 5 waktu cukup dititik beratkan. Betapa marahnya Ma kepada saya apabila saya meninggalkan solat sekalipun umur saya baru 7 tahun.

Apabila Rasulullah menyuruh memukul anak-anak diusia 10 tahun jika meninggalkannya, maka proses pembelajaran mereka tentang solat haruslah bermula sebelum itu lagi. Mengajar mereka tentang rukun-rukun solat, bacaan dalam solat, perkara yang membatalkan solat dan banyak lagi. Andai diusia 10 tahun ibu bapa baru sibuk nak ajar dan mengarahkan anak mereka untuk solat, saya boleh katakan sudah agak lewat. Anak-anak kecil ini ibarat kain putih. Mereka akan ikut apa yang dicorakkan oleh ibu bapa sejak kecil lagi. Jika sewaktu usia mereka dalam proses pembelajaran itu tidak dicorakkan bab solat, maka sukarlah untuk memberi penekanan apabila mereka sudah dewasa.

Masyarakat kita hari ini suka menghalang anak-anak menggangu mereka solat. Padahal dalam proses itu, mereka sedang belajar dan memerhatikan orang dewasa untuk bersolat. Anak saudara saya, belum cukup umur 1 tahun, apabila melihat kami selesai solat dan berzikir, mulutnya turut sama mengikut rentak zikir dan berserta pergerakan badan sekali. Pantang dengar orang membaca al-Quran dan berzikir, laju sahaja dia mengikutnya walaupun tidak jelas apa yang diperkatakannya. Tidak mustahil, kanak-kanak sebesar itu, apabila sentiasa memerhati ibu bapa solat, mereka akan senang mengikutnya melainkan ibu bapa sendiri culas dan malas menunaikan solat.

Firman Allah SWT:
“Orang-orang yang jika Kami berikan kedudukan di atas muka bumi, mereka mendirikan sembahyang.”

Rasulullah pernah ditanya tentang sebaik-baik amal. Baginda bersabda:
Sembahyang pada awal waktunya.”
Baginda ditanya lagi: “Kemudian apa?”
“Berbuat baik kepada ibu bapa.”
“Kemudian apa lagi?”
“Berjihad pada jalan Allah.”..(
Riwayat Bukhari)

Jadi apapun, solat 5 waktu juga didahulukan. Tak guna mengejar puasa sunat, solat hajat dan amalan-amalan sunat yang lain andai solat 5 waktu ini diabaikan. Didiklah anak-anak kita sejak dari kecil lagi mengenal ALLAh dan ajarlah mereka solat. Dengan solat inilah mampu membentuk peribadi muslim yang unggul jika solat itu benar-benar dihayati..InsyaALLAH..

*saya ingin mendidik anak-anak saya seperti Ma dan Ayah mendidik saya..Mudahan dapatlah saya waqafkan mereka di jalan ALLAH SWT..InsyaALLAH..


No comments: